Isnin, 24 April 2017

Choong Hann makin mantap

ARKIB : 31/07/2004
MENJELANG dua minggu lagi bermula temasya sukan terbesar di dunia, Olimpik Athens, pemain badminton nombor satu negara, Wong Choong Hann menyifatkan persediaannya sudah hampir mantap selain tidak berdepan sebarang tekanan.
Lantaran itu, Choong Hann mahu menjadikan faktor tersebut sebagai bekalan terbaik untuk merealisasikan harapan negara untuk meraih emas pertama negara di Olimpik.
Menurutnya, walaupun dia lebih disandarkan harapan untuk meraih kejayaan berbanding dua lagi rakannya, Roslin Hashim dan Lee Chong Wei, tekanan tidak langsung dirasainya.
``Tiada gunanya saya meletakan tekanan terhadap diri sendiri kerana ia hanya menjejaskan tumpuan.
``Saya juga berterima kasih kepada semua pihak terutama media yang tidak menyiarkan laporan yang menekan atau memaksa saya untuk memenangi emas di Athens.
``Kerjasama media banyak membantu saya menumpukan kepada latihan. Lagipun saya tiada masa untuk memikirkan soal tekanan kerana terlalu sibuk dengan latihan,'' katanya ketika di temui ketika mengikuti latihan pusat akhir Olimpik Athens 2004 di IOI Resort, Putrajaya semalam.
Sememangnya Athens 2004 merupakan peluang terbaik untuk Malaysia meraih emas pertama Olimpik menerusi sukan badminton dengan penampilan pemain utama negara.
Selain Choong Hann, 27, dia ditemani dua pemain perseorangan negara iaitu Roslin dan Choong Wei dan pasangan bergu, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choong Eng.
Menilai prestasi semasa, tahun 2003 dianggap tahun gemilang Choong Hann berikutan beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa bermula dengan gelaran naib juara Kejohanan Dunia.
Selepas itu, dia menggegar di beberapa kejohanan antarabangsa seperti mara ke separuh akhir kejohanan Terbuka Denmark, juara Terbuka Taiwan, naib juara Terbuka China, naib juara Sukan SEA 2003 di Vietnam dan juara kejohanan Copenhagen Master.
Musim 2004 agak kurang memihak Choong Hann apabila sekadar mara ke separuh akhir kejohanan Terbuka Korea.
Begitupun Choong Hann akur kilauan emas di Athens tidak semudah dijangka kerana baginya semua pemain yang layak ke Olimpik berpeluang untuk menang.
``Harapan pingat untuk Malaysia turut dipikul bersama oleh Roslin dan Chong Wei serta dua bergu negara,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan