Selasa, 4 April 2017

Roslin, Hafiz tumbang



ARKIB : 29/08/2003

BATAM, Indonesia - Muhammad Hafiz Hashim terus gagal memburu kejuaraan pertama sejak merangkul gelaran Seluruh England Februari lalu apabila tersingkir pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Stadium Tertutup Temenggong Abdul Jamal, semalam, lapor FAUZI JAAFAR.

Cabaran Malaysia dalam suku akhir perseorangan lelaki kini hanya akan diteruskan oleh Lee Tsuen Seng selepas abang Hafiz, Mohd. Roslin Hashim dan juara kebangsaan, Lee Chong Wei turut kandas dalam perlawanan masing-masing.

Kem badminton negara pada kejohanan lima bintang bernilai AS$170,000 (RM646,000) itu bagaimanapun diceriakan dengan kemaraan dua pasangannya, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah ke suku akhir beregu lelaki.

Hafiz yang terkeluar di pusingan awal Terbuka Korea, Jepun, Kejohanan Dunia dan Terbuka Singapura masih gagal menemui sentuhan juara apabila dikecewakan pemain Singapura, Ronaldo Susilo 15-6, 12-15, 11-15.

Ini adalah kegagalan keempat berturut-turut bagi Hafiz selepas menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara Seluruh England dalam tempoh 37 tahun, Februari lalu.

Roslin yang melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Dunia di Birmingham bulan lalu pula gagal menyekat pemain nombor satu dunia dan juara Terbuka Singapura, Chen Hong dari China apabila tewas straight-set 9-15, 10-15.

Pemain muda negara, Chong Wei yang cemerlang ketika mengejutkan naib juara Terbuka Singapura, Chen Yu pada pusingan kedua kelmarin, memberi tentangan sengit sebelum tunduk 15-8, 9-15, 10-15 kepada rakan senegara Chen Yu, Wu Yunyong.

Tsuen Seng terselamat daripada tersingkir awal selepas mudah menewaskan Agus Haryanto dari Hong Kong 15-9, 15-2, namun dia bakal berdepan cabaran sukar hari ini apabila bertemu penyandang juara, Taufik Hidayat dari Indonesia. Taufik mara selepas mengalahkan Bao Chunlai dari China 15-4, 15-6.

Sementara itu beregu negara yang beraksi hambar dalam beberapa kejohanan antarabangsa terakhir kembali mempamer aksi meyakinkan dengan Chong Ming-Choon Eng menyingkirkan pasangan tuan rumah, Sigit Budiarto-Trikus Hariyanto 15-13, 15-7.

Tan FooK-Wan Wah pula tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran Tadashi Ohtsuka-Keita Matsuka dari Jepun 15-4, 15-5.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dIaBP7uB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan