Sabtu, 29 April 2017

Beregu Malaysia buat kejutan

ARKIB : 31/10/2004
BEREGU negara, Tan Boon Heong-Hoon Thien How melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila menumpaskan pilihan utama, Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dari Korea Selatan untuk mara ke perlawanan akhir di Minoru Arena, Vancouver, Kanada semalam.
Boon Heong-Thien How, pilihan kelima kejohanan kini hanya setapak lagi untuk membawa pulang kejuaraan dan menjadi penghalang terakhir mereka di perlawanan akhir hari ini adalah pilihan kedua juga dari Korea, Lee Yong Dae-Jung Jung Young.
Semalam, pasangan Malaysia yang kedua-duanya berusia 17 tahun itu berentap hampir sejam sebeolum mengalahkan Yeon Seong-Jun Bum 15-10, 17-14.
Yong Dae-Jung Young turut diberi tentangan sengit oleh pilihan ketiga dari China, Shen Ye-He Hanbin, termasuk tewas di set kedua sebelum menang 17-14, 11-15, 15-5.
Malaysia merupakan juara beregu remaja dunia dua tahun berturut-turut pada 1996 dan 1998 menerusi Chan Chong Ming-Jeremy Gan dan Chong Ming-Teo Kok Seng.
Bagaimanapun pada kejohanan di Pretoria, Afrika Selatan dua tahun lalu skuad negara sekadar muncul naib juara menerusi pasangan Jack Toh-Tan Bin Shen.
Sementara itu China mengesahkan kejuaraan perseorangan lelaki selepas penyandang juara dan pilihan pertama, Chen Jin menempah pertemuan dengan rakan senegara serta pilihan kedua, Gong Weijie dalam perlawanan akhir. Jin mengambil masa tidak sampai 20 minit untuk mengetepikan pilihan ketiga dari Korea, Hwang Jung Woon 15-1, 15-4.
Laluan Weijie bagaimanapun lebih sukar apabila dipaksa bangkit daripada ketinggalan di set pertama sebelum menumpaskan seorang lagi pemain Korea, Lee Cheol Ho 8-15, 15-9, 15-2.
Gelaran perseorangan wanita pula akan ditentukan Lu Lan dan pilihan keempat, Cheng Shao Chieh dari Taiwan.
Lan mara selepas mencatat kemenangan percuma ke atas rakan senegara, Wang Lin, manakala Shao Chieh tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Ha Jung Eun dari Korea 11-4, 11-2. Seperti perseorangan lelaki, China juga sudah mengesahkan kejuaraan beregu wanita walaupun perlawanan akhir belum berlangsung apabila dua beregu mereka, Tian Qing-Yu Yang dan Feng Chen-Pan Pan bertemu sesama sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan