Jumaat, 21 April 2017

Malaysia juara Kumpulan C

ARKIB : 10/05/2004


ROSLIN HASHIM membalas hantaran pemain Thailand, Boonsak Polsana dengan pukulan smash dalam perlawanan perseorangan pertama Piala Thomas di Jakarta semalam. Roslin menang 15-8,15-5.


JAKARTA - Malaysia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa meneruskan cabaran badminton Piala Thomas tanpa dapat mengelak bertemu dengan penyandang juara, Indonesia atau China pada peringkat suku akhir.
Percaturan untuk `tunduk' kepada Thailand tidak kesampaian semalam, apabila Malaysia menang 5-0 dan sekaligus muncul juara Kumpulan C.
Kemenangan tersebut bermakna Malaysia kini bakal berdepan naib juara Kumpulan A yang akan ditentukan oleh Indonesia dan China, hari ini.
``Kami hanya melihat peluang. Saya tidak minta pemain untuk kalah dalam perlawanan tetapi sekadar melakukan percaturan,'' kata jurulatih negara, Misbun Sidek.
``Meskipun melakukan sesuatu, kita masih berupaya menang dan perlu menerima hakikat bahawa tidak ada jalan lain kecuali berdepan salah satu pasukan gergasi pada halangan berikutnya,'' katanya lagi.
Katanya, sememangnya jika mengikut susunan pemain yang diturunkan semalam, Malaysia mahu mengalah kepada Thailand tetapi mereka masih belum mampu mengalahkan pasukan negara.
Seperti diduga, Malaysia melakukan perubahan ketara dalam barisan pemainnya dengan hanya menurunkan Wong Choong Hann sebagai beregu kedua, manakala Mohd. Roslin Hashim menjadi perseorangan pertama.
Roslin, 29, pemain nombor 13 dunia menyumbangkan mata pertama negara selepas mengalahkan Boonsak Polsana 15-8, 15-5 untuk melebarkan rekod kemenangannya ke atas pemain nombor 23 dunia itu kepada 5-0.
Pemain remaja, Koo Kien Keat yang membuat penampilan sulung Piala Thomas kelmarin sekali lagi digandingkan dengan Chew Choon Eng. Pasangan itu mengejutkan mengejutkan beregu utama Thailand, Pramote Teerawiwatana-Tesana Panvisvas 15-10, 8-15, 15-12 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Juara kebangsaan, Lee Chong Wei yang mendapat peluang pertama beraksi dalam Piala Thomas membalas kepercayaan itu dengan mengesahkan kemenangan Malaysia selepas mengutip mata ketiga, mengalahkan Thirayu Laohathaimongkol 15-8, 15-3.
Percaturan negara,menggandingkan Choong Hann dan Chong Ming menjadikan perlawanan agak hambar, sekalipun pasangan bidan terjun itu berjaya memberikan mata keempat dengan menewaskan Sudket-Patapol Ngernsrisuk 15-11, 15-11.
Lee Tsuen Seng yang membuat penampilan pertama sejak diketepikan awal bulan lalu akibat kecederaan mempamer persembahan longgar dan diheret ke perlawanan rubber-set sebelum menang 10-15, 15-7, 15-10 ke atas Adisak Wiriyapadungpong.
Misbun tetap percaya pemainnya tidak mudah tertekan berdasarkan pengalaman beberapa pemain senior yang beraksi pada kejohanan lalu.
``Kini, kita hanya perlu menyiapkan diri untuk mengharungi halangan seterusnya. Saya percaya, mungkin ada rahmatnya berdepan dengan pasukan kuat di laluan lebih awal,'' kata Misbun.
Mengulas lanjut samada beliau memberikan arahan tertentu kepada pemain, Misbun sama sekali menolak.
``Saya hanya membuat percaturan barisan pemain tetapi tidak pula meminta mereka agar tewas dalam perlawanan,'' jelas Misbun.
Katanya, beliau memahami perasaan pemain dan tidak mahu ia merosakkan keyakinan mereka untuk beraksi. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan