Sabtu, 29 April 2017

Beregu kita kejutkan pasangan China

ARKIB : 30/10/2004
TAN Boon Heong-Hoon Thien How mengejutkan pasangan pilihan, Lui Rui-Cao Liu dari China untuk menjadi wakil tunggal negara layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Minoru Arena, Vancouver, Kanada, semalam.
Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki bagaimanapun berakhir dengan kekalahan Chong Wei Feng kepada pilihan kedua dari China, Gong Weijie di peringkat suku akhir.
Boon Heong-Thien How menepati sasaran awal mereka untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengetepikan pilihan ketiga, Lui-Cao 15-5, 15-10 dalam masa 41 minit.
Pasangan negara itu yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan bakal berdepan laluan sukar untuk meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir apabila berdepan pilihan utama dari Korea, Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum hari ini.
Yeon Seong-Jun Bum mara ke separuh akhir selepas menumpaskan pasangan dari Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu 15-9, 15-9.
Korea merupakan penyandang juara beregu lelaki tetapi menerusi Han Sang Hoon-Park Sung Hwan yang menewaskan pasangan negara, Jack Toh-Tan Bin Shen dalam perlawanan akhir dua tahun lalu.
Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki akan menemukan pilihan kedua dari Korea, Lee Yong Dae-Jung Jung Young menentang pilihan ketiga, Shen Ye-He Hanbin dari China.
Sementara itu hajat Wei Feng untuk meneruskan siri kejutan di Vancouver tidak kesampaian apabila tunduk 7-15, 3-15 kepada pilihan kedua, Weijie dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 30 minit.
China dan Korea kini menguasai dua tempat separuh akhir. Selain Weijie, cabaran China turut dipikul oleh juara bertahan dan pilihan pertama, Chen Ji yang akan menentang Hwang Jung Woon, manakala Weijie bertemu Lee Cheol Ho.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan