Rabu, 12 April 2017

Malaysia bermula baik



ARKIB : 17/02/2004

SKUAD Piala Uber negara membuat permulaan yang baik apabila menang 3-2 pada perlawanan pembuka tirai kumpulan X menentang Hong Kong pada pusingan kelayakan Piala Thomas-Uber peringkat Asia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam.

Gandingan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui memastikan kemenangan pertama skuad itu dengan menewaskan beregu utama lawan, Lin Wang Ting-Koon Wei Chee.

Beregu Hong Kong itu yang tewas set pertama 15-7 bangkit untuk memenangi set kedua 15-12 bagi memaksa perlawanan dilanjutkan ke set penentuan.

Peluang untuk pemain negara memperoleh kemenangan pada mulanya kelihatan samar apabila beregu Hong Kong itu mendahului 8-2 pada set penentuan tersebut.

Namun sokongan rakan sepasukan serta bantahan beregu Hong Kong mengenai keputusan penjaga garisan menyatakan bola keluar menyebabkan gandingan Pei Tty dan Eei Hui berpeluang merapatkan jurang kepada 8-7 sebelum mendahului 13-10 dan menamatkan permainan dengan catatan 15-10.

``Ia satu permulaan yang baik, tetapi pertemuan dengan Jepun dijangka lebih sukar kerana pemain-pemainnya lebih berpengalaman,'' kata ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek.

Misbun berkata, beliau berharap pemain negara tidak terlalu gembira dengan kemenangan awal itu sebaliknya turut fokus kepada perlawanan yang akan berlangsung walaupun ketika menentang India dan Macau nanti.

Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong, Chan Chi Choi berkata, mereka masih berpeluang untuk merebut salah satu daripada empat tiket ke pusingan akhir walaupun tewas kepada Malaysia.

Chi Choi berkata, Mereka bagaimanapun perlu bekerja keras bagi menebus kekalahan itu dan berusaha untuk tidak mensia-siakan perlawanan selepas ini.

``Kami masih ada peluang. Pemain kami telah mencuba yang terbaik tetapi keputusan pengadil (kedudukan bola yang dikatakan keluar) mengubah keadaan. Bagaimanapun kami tidak akan mengemukakan bantahan,'' katanya.

Malaysia akan bertemu Jepun pada perlawanan kedua mereka hari ini sementara Hong Kong bertemu Macau esok.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan X, Jepun menang 5-0 kepada Macau

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4e2wWT2O3
© Utusan Melayu (M) Bhds

Tiada ulasan:

Catat Ulasan