Sabtu, 8 April 2017

Badminton Copenhagen Masters - Choong Hann mara ke akhir



ARKIB : 30/12/2003

COPENHAGEN, Denmark - Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann berpeluang menutup tirai 2003 dengan gelaran antarabangsa keduanya tahun ini selepas mara ke perlawanan akhir badminton Copenhagen Masters yang menawarkan 320,000 krone (RM203,474) semalam.

Choong Hann mengesahkan kemaraannya ke akhir selepas menundukkan bekas pemain nombor satu dunia dari Denmark, Peter-Gade Christensen 15-2, 15-11 untuk menjuarai Kumpulan A.

Naib juara dunia itu bagaimanapun bakal dicabar pemain harapan tuan rumah dan juara Terbuka Korea, Kenneth Jonassen yang muncul juara Kumpulan B sekalipun tewas 15-17, 15-8, 15-4 kepada pemain muda China, Chen Yu dalam perlawanan terakhirnya semalam.

Hasrat untuk menyaksikan beregu tunggal negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah beraksi di akhir tidak kesampaian selepas pasangan veteran itu tewas dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan B.

Walaupun berada di ranking keempat dunia, Choong Hann, 26, tidak pernah memenangi kejuaraan antarabangsa lain tahun ini, selain Terbuka Taiwan, bulan lalu.

Naib juara Sukan SEA XXII dan Terbuka China itu tidak memiliki sebarang rekod pertemuan dengan Jonassen, pemain ranking keenam dunia sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun Choong Hann memenangi perlawanan terakhir kedua-dua pemain, 15-3, 15-7 pada separuh akhir Terbuka China, Disember tahun lalu.

Selepas memenangi pingat emas Sukan SEA, Tan Fook-Wan Wah gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 9-15, 11-15 kepada beregu tuan rumah, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen, sebelum tunduk 7-15, 9-15 kepada pasangan Indonesia, Candra Wijaya-Halim Haryanto.

Candra-Halim akan menentang beregu nombor satu dunia dan juara Kumpulan A, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark dalam perlawanan akhir.

Sementara itu perlawanan akhir perseorangan wanita pula menemukan bekas pemain nombor satu dunia dan bintang tuan rumah, Camilla Martin dengan Xie Xingfang dari China.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dj1IOrVG
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan