Sabtu, 8 April 2017

Choong Hann juara Copenhagen Masters



ARKIB : 31/12/2003

COPENHAGEN, Denmark - Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann menutup tirai 2003 dengan merangkul gelaran antarabangsa keduanya tahun ini selepas menjuarai badminton Copenhagen Masters di Dewan Cirkusbygningen, semalam.

Choong Hann hanya mengambil masa 39 minit untuk mengecewakan pemain harapan tuan rumah, Kenneth Jonassen 15-7, 15-10.

Copenhagen Masters, kejohanan jemputan yang menawarkan hadiah kemenangan 320,000 krone (RM203,474) merupakan kejuaraan kedua Choong Hann tahun ini selepas memenangi Terbuka Taiwan, bulan lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini gagal dalam tiga percubaannya untuk meraih gelaran biarpun sudah melayakkan diri ke akhir - Kejohanan Dunia, Terbuka China dan Sukan SEA XXII.

Walaupun Copenhagen Masters tidak memberi sebarang mata pada kedudukan ranking dunia, namun kemenangan Choong Hann itu tetap meningkatkan semangatnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2004.

``Saya gembira berjaya menutup tahun 2003 dengan satu lagi gelaran,'' kata Choong Hann, pemain nombor empat dunia ketika dihubungi di Copenhagen semalam.

``Mengalahkan pemain Denmark di gelanggang mereka sendiri adalah satu keputusan yang amat memberangsangkan.

``Ia mengingatkan saya kepada Terbuka China 2002, di mana saya menang selepas mengalahkan pemain mereka (Chen Hong) dalam perlawanan akhir,'' katanya lagi, yang beraksi dalam perlawanan akhir kedua daripada tiga penampilan.

Choong Hann merupakan pemain perseorangan Malaysia pertama merangkul gelaran Copenhagen Masters.

Beregu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pernah menjuarai gelaran beregu lelaki pada kejohanan 1999.

Kemenangan ke atas Jonassen, juara Terbuka Korea dan pemain nombor enam dunia membolehkan Choong Hann membawa pulang 30,000 krone (RM19,126).

Selepas dikecewakan dalam perseorangan lelaki, hajat Denmark untuk meraih kejuaraan daripada beregu lelaki dan perseorangan wanita juga tidak kesampaian.

Pasangan nombor satu dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen turut kecundang dengan keputusan straight-set 11-15, 4-15 kepada beregu Indonesia, Candra Wijaya-Halim Haryanto.

Bekas pemain nombor satu dunia, Camilla Martin pula tewas mudah, 3-11, 3-11 kepada Xie Xingfang dari China dalam perseorangan wanita akhir.

KEPUTUSAN (akhir) :
Perseorangan lelaki: WONG CHOONG HANN (MAS) kln Kenneth Jonassen (Den) 15-7, 15-10

Beregu lelaki: Candra Wijaya-Halim Haryanto (Ina) kln Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den) 15-11, 15-4

Perseorangan wanita: Xie Xingfang (Chn) kln Camilla Martin (Den) 11-3, 11-3

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dj4HcVMw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan