Jumaat, 7 April 2017

Hafiz ke separuh akhir Terbuka Belanda -- Peluang Malaysia lakar hatrik



ARKIB : 21/09/2003

PELUANG Malaysia untuk mencatat kemenangan hatrik buat kali pertama dalam acara perseorangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Belanda semakin cerah dengan kemaraan juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim ke separuh akhir, kelmarin.

Lee Chong Wei turut mara ke separuh akhir tetapi gagal mengatasi pilihan utama kejohanan, Lee Hyun Il dari Korea Selatan.

Chong Wei yang masih memburu kejuaraan pertama di peringkat antarabangsa, tewas 5-15, 12-15 pada babak separuh akhir yang menyaksikan harapan Malaysia kini dipikul oleh Hafiz.

Sebelum menentang Hyun Il, Chong Wei yang masih segar daripada kejayaan muncul naib juara Terbuka Malaysia, mara ke separuh akhir setelah mengatasi pemain Denmark, Kasper Fangel 15-5, 15-11.

Hyun Il yang menjuarai Terbuka Switzerland sebelum ini mara setelah menewaskan pemain pilihan kelima, Bjoern Jopien dari Jerman 15-9, 15-9.

Hafiz yang mencatatkan pencapaian terbaik di kejohanan itu sejak menjuarai Seluruh England Februari juga akan berhadapan dengan pemain Korea Selatan.

Pemain berusia 21 tahun itu mara setelah menewaskan pemain pilihan kedua, Anders Boesen dari Denmark 14-17, 15-7, 15-10.

Dia akan membuat perhitungan dengan pilihan keempat, Shon Seung Mo yang menewaskan rakan senegaranya, Park Tae Sang 15-5, 15-12.

Malaysia sebelum ini telah menjuarai Terbuka Belanda berturut-turut menerusi Wong Choong Hann pada 2002 dan Lee Tsuen Seng (2001).

Sebelum itu Malaysia juga merangkul kejuaraan dua kali berturut-turut menerusi Choong Hann pada 1997 dan abang Hafiz, Roslin Hashim pada 1998.

Cabaran dalam acara beregu bagaimanapun berakhir dengan kecundangnya wakil tunggal negara, Chan Chong Ming-Chew Chong Eng di suku akhir.

Chong Ming-Chong Eng tewas kepada pilihan kedua kejohanan, Yim Bang Eun-Kim Yong Hyun dari Korea Selatan 17-15, 15-6.

Pasangan Korea Selatan itu akan bertemu rakan senegara mereka, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung yang menang telah lawan mereka Michael Logasz-Robert Mateusiak dari Poland menarik diri ketika ketinggalan 7-13.

Satu lagi beregu Korea Selatan, Ha Tae Kwan-Kim Dong Moon turut mara setelah menewaskan pasangan Rusia, Nickolai Zuev-Stanislav Pukhov 15-5, 15-8. Mereka akan bertemu beregu Denmark, Jim Laugesen-Carsten Mogensen yang mengejutkan pilihan pertama kejohanan, Nathan Robertson-Anthony Clark dari England dengan kemenangan 15-5, 11-15, 15-5.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4dZhJ4MhQ
© Utusan Melayu (M) BhdARKIB : 21/09/2003

Tiada ulasan:

Catat Ulasan