Khamis, 13 April 2017

China muncul juara

 
ROSLIN HASHIM menjerit kegembiraan selepas dia menewaskan Cheng Hong dalam perlawanan akhir badminton pusingan kelayakan Piala Thomas zon Asia di Kuala Lumpur, semalam. Bagaimanapun Malaysia tewas 3-2. - Gambar AZLI AHAD.
CHINA muncul juara kejohanan badminton pusingan kelayakan Piala Thomas zon Asia setelah menewaskan tuan rumah Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam.
Dalam saingan sengit yang penuh dramatik itu, Malaysia yang dianggap underdog dan terpaksa membuat perubahan pemain akibat kekejangan otot yang dialami Wong Choong Hann serta Choong Tan Fook, masih berjaya memaksa China beraksi dalam kesemua lima perlawanan sebelum memberi kemenangan.
Skuad Piala Thomas negara itu memperoleh mata pertama daripada Mohd. Roslin Hashim yang dipanggil untuk menggantikan Choong Hann beberapa jam sebelum perlawanan.
Roslin yang tewas sembilan daripada 10 pertemuan dengan Chen Hong sebelum ini membuktikan usia bukan penghalang apabila mendahului 12-2 sebelum menang 15-7 pada set pertama.
Dia yang diberi saingan sengit di set kedua pada mulanya ketinggalan 10-7 dan 14-11 tetapi bangkit di akhir perlawanan untuk mengutip tiga mata bagi menyamakan kedudukan 14-14 sebelum menang 17-15 bagi mata pertama negara.
``Saya memang membuat persediaan rapi untuk kejohanan ini tetapi jika dikira dengan keadaan saya yang tidur lewat semalam (kelmarin), saya tidak yakin untuk menang. Tetapi saya telah diberi tugas ini sebagai pemain perseorangan pertama menggantikan Choong Hann dan harus menyempurnakannya.
``Saya tahu pemain yang akan ditemui dan perlu bermain dengan baik untuk menambahkan mata Olimpik. Kemenangan saya juga mungkin di bantu oleh keadaan Chen Hong yang mungkin menjangkakan akan bertemu Choon Hann dan bukan saya,'' katanya selepas perlawanan.
Gandingan Koo Kien Keat-Gan Teik Chai yang turun sebagai beregu pertama negara turut memberi saingan sengit kepada pasangan utama China, Cai Yun-Fu Haifeng walaupun gagal menyumbang mata.
Beregu muda negara itu yang ketinggalan 1-9 pada satu ketika di set pertama bangkit untuk merapatkan kedudukan kepada 7-13 sebelum mengakhiri set pertama dengan ketinggalan 7-15.
Pasangan yang digandingkan kira-kira setahun lalu itu memberi saingan lagi pada set kedua dan mendahului 7-5 dan 11-10 tetapi kemudian ketinggalan 14-11. Mereka bangkit semula untuk menyamakan kedudukan 14-14 bagi memaksa perlawanan diteruskan ke mata dius.
Pengalaman bagaimanapun memihak kepada pasangan China yang mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 17-15 untuk membolehkan China seri 1-1 dengan Malaysia.
Usaha naib juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei yang bertarung selama satu jam sembilan minit untuk menambah mata negara tidak kesampaian apabila pemain itu tewas 15-3, 13-15, 6-15 kepada pemain nombor dua dunia, Lin Dan.
Namun pasangan bidang terjun, gandingan Lee Wan Wah-Chew Choon Eng membuat kejutan apabila mengutip mata kedua negara setelah menewaskan gandingan Zhen Bo-Sang Yan 15-6, 15-12 dalam masa 38 minit untuk membolehkan Malaysia seri 2-2 dengan China.
Kuan Beng Hong yang memikul tugas berat sebagai pemain terakhir menentukan kejuaraan gagal melaksanakan tugas itu apabila tumpas 15-4, 15-9 untuk membolehkan China muncul juara keseluruhan pusingan kelayakan Piala Thomas zon Asia ini.
Terdahulu, Thailand mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta Mei ini apabila menewaskan Hong Kong 3-2 pada perlawanan penentuan tempat kelima.
Kemenangan itu membolehkan Thailand mengiringi Malaysia, China, Jepun dan Korea ke pusingan akhir yang bakal disertai 12 pasukan yang layak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan