Jumaat, 28 April 2017

Cabaran pasukan negara berakhir

ARKIB : 03/10/2004
DEN BOSCH, Belanda - Cabaran Malaysia, yang menghantar skuad muda pada Kejohanan Badminton Terbuka Belanda berakhir kelmarin selepas bekas pemain kebangsaan, Sairol Amar Ayob dan beregu Tan Boon Heong-Hoon Thien How kandas di di pusingan ketiga dan kedua.
Sairol, 24, pemain negara paling senior pada kejohanan dua bintang bernilai AS$50,000 (RM190,000) itu tewas 7-15, 14-17 kepada pilihan keempat, Anders Boesen dari Denmark 7-15, 14-17.
Terdahulu, Sairol melepasi dua halangan awal, mengalahkan Koen Ridder dari Belanda 15-3, 15-1 pada pusingan pertama dan menang 15-8, 15-2 ke atas Jonas Lyduch dari Denmark di pusingan kedua.
Siri kekalahan skuad muda negara dilengkapkan dengan kekalahan beregu Boon Heong-Thien How kepada pilihan kedua dari Denmark, Peter Steffensen-Thomas Laybourn 5-15, 10-15.
Keputusan di Belanda pastinya memberi petanda tidak baik kepada Malaysia apabila beraksi pada kejohanan lima bintang, Terbuka Denmark pada 5-10 Oktober ini.
Pasukan negara mengambil keputusan hanya menghantar skuad pelapis pada siri kejohanan di Eropah selepas penyertaan pemain senior dibekukan buat sementara ekoran aksi buruk pada Sukan Olimpik Athens.
Selain Sairol dan pasangan Boon Heong-Thien How, pasukan negara turut diwakili tiga lagi perseorangan remaja, Pei Wee Chung, Azrihanif Azahar serta Chong Wei Feng.
Wee Chung kandas pada pusingan kedua selepas tewas 7-15, 8-15 kepada Daniel Damgaard-Pedersen dari Denmark.
Azrihanif dan Wei Feng pula tersingkir seawal pusingan pembukaan. Azrihanif kalah 15-10, 10-15, 9-15 kepada pemain dari pusingan kelayakan, Rikkert Suijkerland dari Belanda.
Wei Feng turut tumpas dengan rubber-set 13-15, 17-14, 10-15 di tangan pemain dari negara kerdil badminton, Lithuania Kestutis Navickas.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan