Sabtu, 29 April 2017

Beregu kita juara di Vancouver

ARKIB : 01/11/2004
PASANGAN muda negara, Tan Boon Heong (kiri) dan Hoon Thien How meraih gelaran juara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Vancouver, Kanada semalam.


PASANGAN Malaysia, Tan Boon Heong-Hoon Thien How melengkapkan kecemerlangan di Vancouver, Kanada apabila muncul juara beregu remaja dunia pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berakhir semalam.
Boon Heong-Thien How melakar nama sebagai beregu ketiga negara berjaya merangkul kejuaraan prestij itu selepas mengejutkan pilihan kedua dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Jung Jung Young 15-6, 3-15, 15-12.
Kali pertama Malaysia menjuarai gelaran remaja dunia adalah menerusi pasangan Chan Chong Ming-Jeremy Gan di Denmark pada 1996, diikuti Chong Ming-Teo Kok Seng pada kejohanan di Melbourne 1998.
Dalam perlawanan semalam, Boon Heong-Thien How dipaksa bekerja-keras sepanjang 56 minit, termasuk tewas pada set kedua sebelum menundukkan juara remaja Asia, Yong Dae-Jung Young.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menebus kekalahan kepada Korea dalam perlawanan akhir beregu lelaki di Pretoria, dua tahun lalu apabila Tan Bin Shen-Jack Koh tewas 17-14, 9-15, 9-15 kepada Han Sang Hoon-Park Sung Hwan.
Bagi Boon Heong-Thien How, pilihan kelima, selain merangkul gelaran antarabangsa pertama, ini juga adalah kejutan besar ketiga dilakukan mereka selepas mengalahkan pilihan pertama dari Korea, Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dan pilihan ketiga dari China, Li Rui-Cao Liu dalam laluan ke akhir.
Pasangan remaja negara itu menunjukkan peningkatan sejak menjalani latihan bersama skuad senior di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock, lima bulan lalu.
Sementara itu China mengukuhkan status mereka sebagai gergasi badminton dunia dengan merangkul tiga daripada lima kejuaraan yang dipertandingkan.
Selepas mempertahankan gelaran berpasukan remaja dunia buat kali ketiga berturut-turut minggu lalu, China menambah koleksi kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Penyandang juara dan pilihan pertama, Chen Jin muncul juara perseorangan lelaki selepas menundukkan rakan senegara, Gong Weijie 12-15, 15-8, 17-14.
Tian Qing-Yu Yang pula menepati status sebagai pilihan pertama beregu wanita dengan menumpaskan beregu senegara, Feng Chen-Pan Pan 15-3, 15-5.
He Hanbin-Yu Yang menafikan hajat Indonesia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran apabila menumpaskan Muhammad Rizal-Greysia Polli 15-12, 15-12 dalam beregu campuran.
Walaupun cemerlang dengan tiga gelaran individu dan satu berpasukan, China yang digeruni dalam acara wanita tersentap apabila gagal membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita selepas Lu Lan, pilihan kedua tewas 7-11, 5-11 kepada pilihan kelima dari Taiwan, Cheng Shao Chieh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan