Selasa, 25 April 2017

Cabaran badminton berakhir

ARKIB : 18/08/2004
ATHENS - Pemain perseorangan, Wong Choong Hann dan Lee Chong Wei melengkapkan derita kontinjen Malaysia apabila gagal dalam misi mereka untuk meneruskan cabaran selepas tumbang pada pusingan kedua badminton Sukan Olimpik di Dewan Olimpik Goudi di sini semalam.
Selepas mempamer aksi menyakinkan di awal set pertama, Choong Hann yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tewas dalam aksi maraton selama satu jam 22 minit kepada Taufik Hidayat dari Indonesia 15-11, 7-15, 9-15.
Chong Wei pula tewas selepas memberikan tentangan sengit kepada pilihan kedua, Chen Hong dari China 11-15, 15-3, 12-15.
Dengan berakhirnya cabaran negara dalam acara badminton bermakna Malaysia diramal mengulangi pencapaian di Sydney tahun 2000 - apabila pulang tangan kosong - meskipun masih ada beberapa acara yang akan disertai oleh atlet negara seperti menembak, lumba basikal, perahu layar dan olahraga. Kesemua acara itu berada di luar sasaran pingat.
Choong Hann, 27, banyak melakukan kesilapan ketika mengembalikan bulu tangkis di jaring, yang membolehkan Taufik bangkit meskipun tewas pada set pertama.
Dalam aksi semalam, pemain kidal Malaysia itu bermula cemerlang apabila meninggalkan Taufik 7-1 dan 13-4. Namun selepas itu, Taufik bangkit dengan merapati mata yang diperoleh Choong Hann sehingga angka 14-7. Choong Hann kemudian terhenti pada angka 14, yang menyebabkan pemain kelahiran Bandung itu mengambil kesempatan menambah mata sehingga angka 11 berturut-turut akibat kesilapan permainan di jaring, yang dilakukan oleh pemain Malaysia itu.
Namun ketika servis bertukar tangan pada kedudukan mata penamat, Choong Hann melakukan pukulan kuat ke be-lakang dengan Taufik menyangkakan bulu tangkis terkeluar tetapi ia menjadi mata kemenangan 15-11 bagi pemain Malaysia selepas beraksi selama 28 minit.
Set kedua menyaksikan Taufik lebih bersedia untuk menyerap permainan Choong Hann dengan hantaran-hantaran di jaring yang sentiasa memerangkap lawan apabila selepas ketinggalan 1-2, pemain Indonesia itu terus meninggalkannya dengan kedudukan sehingga 10-3.
Choong Hann yang kelihatan hilang tumpuan cuba mengawal permainan dan mendekati lawannya sehingga kedudukan 7-11. Sesudah servis bertukar tangan, Taufik tidak melepaskan peluang dengan menambah empat mata berturut-turut dan menyudahkan aksi set kedua dengan kemenangan 15-7 dalam masa 20 minit sahaja untuk memaksa permainan rubber-set.
Untuk aksi penentuan itu, Choong Hann mudah mendahului lawannya sehingga 5-0 sebelum Taufik menggunakan kesempatan di atas kelemahan lawan bermain di jaring dengan memungut lapan mata dan mendahului 8-5. Choong Hann hanya mampu mencuri tiga mata ketika Taufik melebarkan jurang dengan 14-8. Dalam kedudukan yang getir itu, Choong Hann mencuri satu mata tetapi sudah terlewat untuk menyekat laluan Taufik mara ke pusingan suku akhir dengan kemenangan 15-9 berpihak kepada pemain Indonesia itu.
``Saya terpaksa berdepan dengan keadaan angin yang tidak menentu di gelanggang. Ia memaksa saya menggunakan banyak tenaga dengan tolakan bulu tangkis yang tersangkut di jaring.
``Taufik juga menghadapi masalah yang serupa tetapi dia mampu mengatasinya dengan baik,'' kata Choong Hann.
Lawannya Taufik berkata, dia berjaya menguasai permainan pada set kedua yang membolehkannya memenangi perlawanan. Menurut Taufik, dia menyedari kelemahan Choong Hann bermain di jaring dan menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin untuk mendapatkan mata.
``Dia mempunyai permainan yang baik ketika melakukan chop dan smash. Sudah tentu saya mahu menggunakan kelebihan yang saya miliki,'' kata Taufik, juara Asia 2004.
Kelmarin, Choong Hann mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain dari Poland, Wacha Przmyslaw 15-1, 15-5. Ini merupakan aksi kedua Choong Hann dalam Sukan Olimpik. Pada temasya di Sydney 2000, cabarannya berakhir pada peringkat suku akhir.
``Dia cuba bermain dengan ketepatan tetapi secara tiba-tiba mengubah permainannya. Saya sendiri tidak tahu apa puncanya,'' kata ketua jurulatih, Misbun Sidek ketika mengulas permainan Choong Hann.
Kekalahan itu bermakna Choong Hann mengiringi rakan seperjuangannya, Mohd. Roslin Hashim yang terkandas pada pusingan pertama apabila tewas kepada seorang lagi pemain dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 6-15, 15-9, 8-15 kelmarin.
Terdahulu, pasangan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui seperti yang dijangka tunduk kepada pilihan kedua, Huang Sui dan Gao Ling dengan 15-12, 15-8 pada pusingan kedua acara beregu wanita. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan