Jumaat, 21 April 2017

Chong Wei turut ke Athens

ARKIB : 03/05/2004
LEE CHONG WEI merupakan di antara tiga pemain perseorangan negara yang layak beraksi dalam acara badminton Sukan Olimpik di Athens, Ogos ini setelah berjaya menempatkan diri dalam senarai 16 pemain terbaik dunia.
Juara kebangsaan itu menduduki ranking ke-15 dalam senarai terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam.
Ini bermakna, Chong Wei akan menyertai Wong Choong Hann yang kekal di tempat ketiga dan Mohd. Roslin Hashim yang berada di tangga ke-13 untuk menyertai temasya itu.
Ranking terbaru IBF itu dibuat berdasarkan keputusan pada kejohanan terakhir dalam kalendar IBF sebelum Olimpik - Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang berakhir minggu lalu.
Mengikut peraturan IBF, hanya 16 pemain terbaik dunia menerusi acara perseorangan (lelaki dan wanita), 23 beregu (lelaki dan wanita) dan 22 beregu campuran layak secara automatik untuk menyertai temasya itu.
Pasangan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah turut layak selepas mereka mengekalkan kedudukan keempat dunia bersama pasangan kedua negara, Chew Choon Eng/Chan Chong Ming yang kini menduduki ranking ke-22.
Kemasukan nama Choon Eng dan Chong Ming banyak dibantu oleh pencapaian mereka ketika melangkah ke separuh akhir ABC itu.
Mereka dianggap bernasib baik kerana mencatat kemenangan percuma keatas pasangan Korea Selatan, Lee Dong-Soo/Yoo Young-Sung pada suku akhir.
Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui pula mencipta sejarah apabila menjadi pemain badminton wanita kedua layak ke Olimpik selepas Chan Chia Fong, yang beraksi pada temasya di Atlanta pada tahun 1996.
Pei Tty/Eei Hui yang sebelum ini menduduki tangga ke-22 turun dua anak tangga ke-20 dan layak apabila berada dalam senarai 23 beregu lain.
Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ganga Rao berkata, jumlah pemain layak yang lebih ramai itu merupakan satu rekod dalam sejarah badminton negara.
``Ini merupakan satu pengiktirafan buat pemain juga jurulatih,'' katanya di Kuala Lumpur semalam.
Ganga menyifatkan penyertaan Choong Wei kali ini sebagai bonus memandangkan sebelum ini negara hanya berjaya menghantar dua pemain bagi perseorangan lelaki dan memenuhi kuota yang diberi oleh IBF bagi setiap negara iaitu tiga orang dalam acara berkenaan.
``Beregu wanita juga harus diberi pujian kerana melakar sejarah sebagai beregu wanita pertama negara melangkah ke Sukan Olimpik yang sebelum ini hanya menghantar pemain lelaki,'' katanya.
Ganga berkata, dengan skuad terbesar badminton tahun ini, beliau berharap agar ia dapat memberi saingan sekaligus menebus maruah negara yang gagal membawa pulang sebarang habuan empat tahun lalu di Sydney. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan