Khamis, 13 April 2017

Malaysia jumpa China di final kelayakan Piala Thomas

ARKIB : 22/02/2004
MALAYSIA mara ke perlawanan akhir pusingan kelayakan Piala Thomas zon Asia setelah menewaskan Korea Selatan 3-0 pada separuh akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam. Dengan kemenangan itu Malaysia akan bertemu China yang menewaskan Jepun juga 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.
Malaysia yang menurunkan barisan terbaik memperoleh mata pertama menerusi Wong Choong Hann yang menewaskan Shon Seung Mo 15-10, 15-1 dalam perlawanan menarik yang berlangsung semalam 45 minit.
Kemenangan Chong Hann itu juga melebarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain itu kepada 4-1 dengan kali terakhir pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menewaskan Seung Mo di separuh akhir Kejohanan Dunia tahun lepas.
Beregu berpengalaman, gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjadi penyumbang mata kedua negara apabila menewaskan pasangan bidang terjun, Yim Bang Eun-Kim Yong Hyun dalam masa 50 minit.
Dengan sokongan kira-kira 3,000 penonton, Tan Fook yang mendapat teguran akibat prestasi hambar ketika perlawanan bertemu Hong Kong sebelum ini menyahut kritikan itu dengan memenangi perlawanan pertama 15-0.
Mereka kemudian mendahului 9-5 pada set kedua tetapi kemudian ketinggalan 11-12 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-12.
``Teguran yang diterima memberi banyak perubahan kepada Tan Fook. Tadi dia bermain dengan agresif seperti sepatutnya. Tetapi mereka mungkin menghadapi persaingan lebih sengit sekiranya Korea menurunkan beregu utama mereka,'' kata jurulatih beregu negara, Yap Kim Hock.
Pemain Nusa Mahsuri, Mohd Roslin Hashim menyempurnakan mata kemenangan negara tetapi terpaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum menewaskan Park Tae Sang 8-15, 15-7, 15-7.
Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek berpendapat tindakan Korea Selatan merehatkan pemain utama terutama pasangan beregu bertujuan untuk menguji kemampuan mereka.
``Korea mungkin merasakan mereka hanya ingin bermain untuk menyempurnakan jadual pertandingan setelah melepasi kelayakan ke Jakarta,'' katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan