Sabtu, 29 April 2017

Badminton Remaja Dunia - Malaysia gagal ke separuh akhir

ARKIB : 24/10/2004
SEPERTI diduga, Malaysia dibelasah 5-0 oleh China dalam perlawanan terakhir Kumpulan W, sekali gus gagal melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Vancouver, Kanada semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan China mengekalkan rekod bersih, menang 5-0 dalam kesemua tiga perlawanan untuk muncul juara kumpulan.
Malah, mereka terus menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan berpasukan campuran itu buat kali ketiga berturut-turut.
Pasukan negara yang bermula goyah sejak hari pertama akan berdepan Denmark hari ini untuk perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan.
Penyingkiran Malaysia daripada saingan separuh akhir sudah terbayang sejak hari pertama apabila mempamerkan aksi goyah ketika mengalahkan Slovenia 3-2 dan Peru 4-1, kelmarin.
Kebimbangan mereka menjadi kenyataan semalam apabila gandingan Shen Ye-Yu Yang mudah mengutip mata pertama China menewaskan Hoon Thien How-Haw Chiou Hwee 15-1, 15-6 dalam acara beregu campuran.
Lu Lan melebarkan kedudukan 2-0 buat China apabila menundukkan Amelia Anscelly 11-6, 11-6 dalam perseorangan wanita hanya mengambil masa 25 minit.
Hasrat Malaysia untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata menerusi perseorangan lelaki, Tan Chun Seang tidak kesampaian apabila dia tunduk 2-15, 11-15, sekali gus mengesahkan kemenangan China.
Walaupun sudah tewas, beregu lelaki negara, Tan Boon Heong-Thien How tetap beraksi habis-habisan dengan memaksa Shen Ye-He Hanbin bekerja keras sebelum kalah 8-15, 17-16, 10-15.
Begitupun seperti diduga, Pan Pan-Feng Chen mudah memberikan mata pelengkap kepada China dengan hanya memerlukan 15 minit untuk mengalahkan Anita Raj Kaur-Amelia 15-0, 15-3.
China akan menentang Indonesia dalam perlawanan separuh akhir hari ini, manakala Korea Selatan bertemu Taiwan.
Acara individu akan bermula esok yang dijangka memberi peluang kepada Malaysia untuk mencipta kejayaan terutama dalam acara perseorangan dan beregu lelaki

Tiada ulasan:

Catat Ulasan