Selasa, 4 April 2017

Pengorbanan kunci kemenangan Perak



ARKIB : 25/08/2003
PENGORBANAN beberapa pemain utama yang sanggup melupakan kecederaan dialami untuk membantu Perak ketika menentang Public Bank Selangor dalam kempen Piala Malaysia di Stadium Selayang kelmarin menguatkan azam Perak untuk memastikan kejayaan bagi meraih piala berprestij itu musim ini, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Penolong jurulatih, Mohd Zakaria Mohamed berkata, Indera Putra Mahayuddin, Chan Wing Hoong dan K. Nantha Kumar sepatutnya direhatkan tetapi mereka mendesak untuk bermain bagi membantu Perak mengalahkan Public Bank 3-0.

``Mereka sanggup mengetepikan kesakitan masing-masing bagi memastikan Perak mengutip mata penuh dalam perlawanan tersebut,'' kata Zakaria ketika dihubungi di Ipoh kelmarin.

Pengorbanan mereka berbaloi apabila Perak mencatat kemenangan menerusi jaringan Frank Seator, Yusri Che Lah dan Indera Putra.

Skuad Seladang turut lega dengan kemenangan itu yang dianggap lulus ujian awal yang paling getir dalam kempen Pia-la Malaysia musim ini dan sekali gus menduduki tangga teratas kumpulan D dengan mengutip empat mata daripada dua perlawanan.

``Kemenangan ini amat berharga kerana Public Bank yang dibarisi oleh bekas pemain kebangsaan yang kaya dengan pengalaman itu merupakan salah sebuah pasukan yang terkuat dalam kumpulan D ini,'' jelasnya.

Sebelum ini, Perak dan Johor FC mencatat keputusan seri 1-1 di Pasir Gudang, gelanggang yang tidak pernah membawa kemenangan kepada skuad Seladang.

Zakaria berkata, kesemua pemain mempamerkan aksi terbaik walaupun menerima sedikit tentangan sengit daripada Public Bank pada 25 minit pertama permainan.

``Selepas itu, pemain Perak dapat mengawal permainan sehingga tamat tetapi gagal menjaringkan lebih banyak gol kerana kegopohan mereka ketika berada di depan gawang lawan,'' jelas penolong jurulatih itu.

Beliau berharap para pemain akan mengekalkan prestasi masing-masing bagi mencari kemenangan seterusnya ketika perlawanan dengan Melaka di Ipoh Rabu ini.

Sementara itu, bekas penyerang East Bengal, Baichung Bhutia dijangka menjadi penyerang berbisa skuad Seladang setelah mempamerkan permainan mantap walaupun pertama kali diturunkan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dI9dNtEd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan