Isnin, 3 April 2017

Athens sasaran Choong Hann



ARKIB : 06/08/2003

BIRMINGHAM, England - Kejayaan muncul naib juara dunia kelmarin hampir pasti membantu Wong Choong Hann menjadi perseorangan badminton pertama Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Athens, tahun depan.

Choong Hann yang tewas 6-15, 15-13, 6-15 kepada Xia Xuanze dalam perlawanan akhir dijangka mengalami peningkatan mendadak pada ranking dunia yang akan dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Khamis ini.

Kejohanan Dunia, yang bertaraf tujuh bintang memberi mata yang tinggi kepada pemain dan merupakan pertandingan pertama yang dikira untuk saingan kelayakan ke Athens 2004.

``Jika kejayaan saya pada kejohanan ini memberi kesan yang besar kepada ranking dunia, saya berada berada pada kedudukan yang baik untuk layak ke Sukan Olimpik tahun depan,'' kata Choong Hann, yang berada pada ranking ketujuh dunia ketika ini.

``Harap saya mampu merangkul beberapa kejuaraan selepas ini kerana ia akan lebih mengukuhkan kedudukan, tetapi jika gagal sekalipun saya hanya perlu mengekalkan permainan konsisten dan sekurang-kurangnya mara ke suku atau separuh akhir dalam setiap pertandingan.

``Kalau berjaya ke Sukan Olimpik, saya percaya peluang pasti lebih baik berbanding di Sydney tiga tahun lalu. Pengalaman beraksi pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia benar-benar membantu saya untuk menjadi pemain yang lebih yakin.

``Sekarang adalah masa yang terbaik untuk saya meneruskan momentum dengan jarak Kejohanan Dunia dan Olimpik yang tidak terlalu jauh. Mungkin perasaan tersebut tidak sama lagi pada Sukan Olimpik akan datang (Beijing, 2008).''

Menurut Choong Hann, walaupun gagal muncul juara dunia ketika kesempatan sudah terlalu hampir, dia sebenarnya telah memenuhi azamnya untuk tahun 2003.

``Ketika masuk 2003, azam saya adalah melakukan sesuatu pada Kejohanan Dunia. Tidak semestinya muncul juara, membawa pulang pingat sudah satu kejayaan. Pada awalnya saya menjangkakan hanya meraih gangsa tetapi kini saya pulang bersama pingat perak.''

Choong Hann, 26, yang akan tiba di Kuala Lumpur Rabu ini berkata, dia tidak bercadang untuk bercuti panjang sekembalinya ke tanah air, sebaliknya akan segera memulakan latihan untuk persiapan menghadapi tiga kejohanan besar - Terbuka Singapura, Indonesia dan Malaysia. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dBr2czic
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan