Selasa, 4 April 2017

Undian sukar buat Roslin



ARKIB : 26/08/2003
SELEPAS kandas di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu, pemain suku akhir Kejohanan Dunia, Mohd. Roslin Hashim berdepan laluan sukar untuk melangkah lebih jauh pada badminton Terbuka Indonesia yang bermula di Pulau Batam, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun yang diletakkan sebagai pilihan ke-14 pada kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan AS$170,000 (RM646,000) itu dijangka berdepan pemain nombor satu dunia dan juara Terbuka Singapura, Chen Hong dari China pada pusingan ketiga.

Sekiranya berjaya melepasi cabaran sukar pilihan pertama itu, menantinya pada suku akhir adalah adiknya, juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim, sekaligus mengulangi pertemuan pusingan kedua Kejohanan Dunia bulan lalu.

``Saya tidak mempunyai rekod yang baik ke atas Chen Hong tetapi saya tidak fikir mengalahkannya adalah sesuatu yang amat mustahil,'' kata Roslin yang dihubungi di Pulau Batam, semalam.

``Saya tidak dapat bayangkan bertemu Hafiz dua kali dalam tempoh sebulan, apa pun saya percaya kalau ditemukan sekali lagi kali ini kami berdua akan bermain habis-habisan.''

Roslin dan Hafiz kini menjadi harapan utama Malaysia dalam perseorangan lelaki selepas pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann menarik diri pada saat-saat akhir.

Turut menjadi sandaran terbaik negara adalah Lee Tsuen Seng, naib juara Terbuka Indonesia 2001 yang berpeluang baik untuk melayakkan diri ke suku akhir selepas juara dunia, Xia Xuanze dari China menarik diri akibat

Seorang lagi sandaran utama Malaysia, Lee Tsuen Seng dijangka tidak menghadapi masalah untuk ke suku akhir selepas juara dunia, Xia Xuanze dari China yang dijangka ditemui pada pusingan kedua menarik diri akibat kecederaan.

Roslin akan memulakan saingan dengan menentang Irwan Syah dari Wales, manakala Hafiz, yang tewas kepada Chen Hong di pusingan awal Terbuka Singapura berdepan pemain veteran Korea Selatan, Park Tae Sang. Tsuen Seng pula bermula dengan menghadapi Sato Shoji dari Jepun, sementara dua pemain veteran negara, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin bakal bertemu sesama sendiri jika mara ke pusingan kedua.

Sementara itu beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng berpeluang cerah untuk menebus kegagalan mereka pada Terbuka Singapura dengan sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir.

Cabaran terbesar buat Chong Ming-Choon Eng yang akan memulakan cabaran menentang pasangan Jepun, Yuichi Ikeda-Shoji Sato untuk mara ke separuh akhir hanyalah beregu Indonesia, Sigit Budiarto-Trikus Ariyanto yang dijangka ditemui pada pusingan ketiga.

Bagaimanapun pasangan Indonesia hanya digandingkan buat kali pertama selepas Sigit menghadapi masalah dengan gandingan asalnya, Candra Wijaya yang akan berpasangan dengan Halim Hariyanto.

Tan Fook-Wan Wah pula harus berhati-hati bertemu beregu muda China, Fu Haifeng-Cai Yun pada pusingan ketiga, sekiranya melepasi halangan tersebut mereka dijangka berdepan Sang Yang-Zheng Bo juga dari China.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dIAr1hNh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan