Khamis, 14 Disember 2017

Beregu remaja singkir Kien Keat-Boon Heong

ARKIB : 12/12/2008
KUALA LUMPUR – Beregu remaja, Goh Wei Shem-Ong Jian Guo melakar kejutan terbesar pada Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir semalam apabila menyingkirkan pasangan elit dan penyandang juara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-19, 21-18 pada separuh akhir.

Malah, pasangan pelapis kebangsaan mendominasi pentas akhir di Dewan Badminton KBA, Alor Star hari ini, apabila gandingan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah mengetepikan satu lagi beregu berpengalaman, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng 17-21, 21-11, 21-19.

Ini adalah kejutan ketiga yang dilakar Wei Shem-Jian Guo dalam tempoh sebulan selepas turut menewaskan beregu elit, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif pada Terbuka Johor bulan lalu, diikuti juara remaja dunia, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang di peringkat kumpulan, kelmarin.

Bagi Kien Keat-Boon Heong, kekalahan ini menjejaskan sedikit persiapan mereka menjelang Siri Super Masters Final yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, 18-21 Disember ini.

Begitupun tiada kejutan berlaku dalam saingan perseorangan, di mana jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei terus unggul menghampiri rekod kejuaraan ketujuh berturut-turut selepas menjinakkan Liew Daren 21-10, 21-12.

Chong Wei bakal menerima tentangan menarik daripada pemain muda sedang meningkat, Chong Wei Feng yang menewaskan Chan Kwong Beng 21-10, 21-16.

Seperti dijangka, final perseorangan wanita menemukan dua pilihan utama, Julia Wong dan Lydia Cheah. Julia menewaskan Ng Sin Er 21-8, 21-7 manakala Lydia memperoleh kemenangan percuma ke atas Stephanie Shalini Sukumaran.

Dalam beregu wanita, pilihan pertama, Goh Liu Ying-Ng Hui Lin menewaskan Ho Bee Ling-Nairul Suhada Abdul Latif 21-15, 21-13 untuk bertemu Chong Sook Chin- Woon Khe Wei, yang menang 21-18, 21-15 ke atas Lim Yin Loo-Ng Paou Leng.

Beregu campuran pula menemukan Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei dan Koo Kien Keat-Ng Hui Lin.

KEPUTUSAN (separuh akhir)

Perseorangan lelaki: Lee Chong Wei kln Liew Daren 21-10, 21-12; Chong Wei Feng kln Chan Kwong Beng 21-10, 21-16.

Beregu lelaki: Goh Wei Shem-Ong Jian Guo kln Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-19, 21-18; Chan Peng Soon-Lim Khim Wah kln Chan Chong Ming Chew Choon Eng 17-21, 21-11, 21-19.

Perseorangan wanita: Julia Wong kln Ng Sin Er 21-8, 21-7; Lydia Cheah kln Stephanie Shalini Sukumaran menang percuma.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51E7PSeLC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan