Isnin, 11 Disember 2017

Eei Hui-Pei Tty raih gelaran sulung

ARKIB : 27/10/2008
KUALA LUMPUR - Beregu nombor satu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty meraih gelaran pertama badminton Siri Super dunia apabila menjuarai Terbuka Denmark, semalam.

Diletakkan sebagai beregu pilihan keempat kejohanan, Eei Hui-Pei Tty menewaskan beregu Indonesia, Rani Mundiasti-Jo Novita 23-21, 21-12 dalam masa 31 minit.

Kejayaan itu pastinya memberi suntikan semangat kepada mereka untuk berusaha lebih gigih dalam mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

Sebelum ini, pasangan negara itu pernah layak ke perlawanan akhir Terbuka Jepun tetapi gagal muncul juara.

Dalam laluannya sebelum bergelar juara, Eei Hui-Pei Tty turut menumpaskan beregu China, Pan Pan-Qing Tian di suku akhir dan satu lagi beregu Indonesia, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii di separuh akhir.

Sementara itu jaguh tuan rumah, Peter Gade muncul juara perseorangan lelaki selepas menewaskan rakan senegara, Joachim Persson 21-18, 17-21, 21-14.

Beregu campuran turut menjadi milik Denmark apabila pemain mereka bertemu sesama sendiri.

Gelaran juara beregu lelaki pula menjadi milik Indonesia apabila juara dunia dan Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan menewaskan beregu bidan terjun China, Fu Haifeng-Shen Ye 21-18, 21-19.

Perseorangan wanita pula dikuasai pemain China apabila Wang Lin menewaskan pemain Hong Kong, Zhou Mi 21-18, 21-10.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz511lEsASh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan