Selasa, 28 November 2017

Skuad remaja mara ke separuh akhir


 

ARKIB : 15/07/2008
KOO Kien Keat (kanan) dan Tan Boon Heong bakal mendapat suntikan semangat daripada rakan sepasukan yang bersedia mendengar keluhan mereka menjelang Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

KUALA LUMPUR - Malaysia menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia selepas dipaksa berhempas pulas menundukkan Taiwan 3-2 dalam suku akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Pasukan negara yang turut dipaksa berkerja keras ketika menewaskan Jepun 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada sebelah pagi akan menentang cabaran paling sukar, Korea Selatan dalam saingan separuh akhir hari ini.

Walaupun Malaysia merupakan penyandang juara dan pilihan pertama, namun Korea, yang menewaskan Thailand 3-1 dianggap calon utama untuk merangkul kejuaraan berpasukan tahun ini kerana menurunkan barisan yang lebih berpengalaman berbanding skuad negara.

Satu lagi separuh akhir akan menemukan naib juara tahun lalu, China dengan Hong Kong yang melayakkan diri ke separuh akhir buat kali pertama selepas mengejutkan Indonesia 3-2 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Gandingan Teo Kok Siang-Sannatasah Saniru meletakkan Malaysia di landasan yang baik apabila mengutip mata pertama selepas menewaskan Chou Tien Chen-Cheng Wan Hui 21-16, 13-21, 21-15 dalam acara beregu campuran.

Bagaimanapun, Taiwan memberi tamparan apabila mengutip dua mata dalam acara perseorangan selepas Hung Shih Han menundukkan Tee Jing Yi 24-22, 21-17 dalam perseorangan perempuan, manakala Hsu Jen Hou menewaskan Iskandar Zulkranain Zainuddin 21-13, 13-21, 21-18 dalam saingan lelaki.

Ketinggalan 1-2 memaksa Malaysia menggandakan usaha dan kombinasi Mak Hee Chun-Teo Kok Siang menghidupkan peluang negara dengan menyamakan kedudukan 2-2 selepas menang mudah 21-14, 21-19 ke atas Lu Hsi Hao-Yuang Po Yi dalam beregu lelaki.

Pasukan negara dipaksa mengharungi aksi mencemaskan pada penentuan sebelum gandingan Jing Yi-Vivian Hoo mengesahkan mata kemenangan dengan menewaskan Peng Hsiao Chu-Cheng Wan Hui 21-15, 17-21, 21-17.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zjsW2pIc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan