Selasa, 28 November 2017

Pemain perseorangan Malaysia cemerlang

ARKIB : 18/07/2008
KUALA LUMPUR - Kesemua enam wakil perseorangan lelaki Malaysia cemerlang pada saingan awal Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila melangkah ke pusingan ketiga di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Namun begitu, kegembiraan kem badminton Malaysia dikejutkan dengan kekalahan beregu nombor duanya, Chooi Kah Ming-Yeoh Choong Hee.

Kah Ming-Choong Hee yang dianggap antara pilihan untuk membawa pulang gelaran tahun ini selaku pilihan kedua tewas 23-25, 17-21 kepada beregu bukan pilihan, Liao Chun Chieh-Liao Kuan Hao dari Taiwan.

Apa pun, kemaraan enam perseorangan lelaki negara menjadi berita paling menggembirakan buat skuad tuan rumah yang sebelum ini gagal mempertahankan kejuaraan berpasukan.

Perseorangan utama dan pilihan ke-10, Kuan Kam Chung mengetuai kemaraan dengan menang 8-21, 21-16, 21-7 ke atas Lee Dong Keun dari Korea untuk bertemu Ng Ka Long dari Hong Kong.

Turut mara Muhd. Syawal Ismail, yang menewaskan Su Hon Min dari Taiwan 21-14, 14-21, 21-17 manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin menang mudah 21-9, 21-11 ke atas Mohannad Aljonid dari Syria.

Tan Aik Quan pula menempah pertemuan dengan pilihan keempat, Hsu Jen Hao dari Taiwan selepas mengalahkan pemain Kemboja, Rithypol Mon 21-3, 21-9, Loh Wei Sheng menumpaskan Kinley Wangchuk dari Myanmar 21-4, 21-5 dan Welson Lim menundukkan Nguyen Cong Hai dari Vietnam 21-19, 19-21, 21-17.

Sementara itu, harapan Malaysia untuk merangkul kejuaraan beregu lelaki masih boleh disandar kepada pilihan utama, Mak Hee Chun-Teo Kok Sai yang mengalahkan Mustafa Mohamad-Haider Mahdi Bashah dari Iraq 21-4, 21-12.

Turut mara gandingan Ow Yao Han-Pang Zheng Lin, yang dipaksa berhempas pulas untuk menang 21-19, 16-21, 21-19 ke atas Michiharu Kido-Ryo Takiuchi dari Jepun.

Cabaran Malaysia juga diteruskan oleh dua pasangan perempuan, Lim Ee Von-Ng Hui Ern dan Vivian Hoo-Tee Jing Yi yang menewaskan lawan dari India dan Myanmar.

Tiga beregu campuran negara, Lau Win Hui-Yvonne Ong, Ow Yao Han-Yeow Mei Xie dan Yew Hong Kheng-Lai Pei Jing kesemuanya gagal meneruskan kemaraan.

Namun, Malaysia masih menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan beregu campuran menerusi Chooi Kah Ming-Ng Hui Ern, Teo Kok Siang-Saniru Sannatasah dan Mak Hee Chun-Vivian Hoo yang mendapat bye, semalam selaku pilihan pertama, kedua dan ketiga.

KEPUTUSAN

(Pusingan kedua, Malaysia sahaja)

Perseorangan lelaki: MUHD. SYAWAL ISMAIL kln Su Hon Min (Tpe) 21-14, 14-21, 21-17; TAN AIK QUAN kln Rithypol Mon (Cam) 21-3, 21-9; ISKANDAR ZULKARNAIN ZAINUDDIN kln Mohannad Aljonid (Syr) 21-9, 21-11; KUAN KAM CHUNG kln Lee Dong Keun (Kor) 8-21, 21-16, 21-7; LOH WEI SHENG kln Kinley Wangchuk (Bhu) 21-4, 21-5; WELSON LIM kln Nguyen Cong Hai (Vie) 21-19, 19-21, 21-17

Beregu lelaki: MAK HEE CHUN-TEO KOK SAI kln Mustfa Mohamad-Haider Mahdi Bashah (Irq) 21-4, 21-12; OW YAO HAN-PANG ZHENG LIN kln Michiharu Kido-Ryo Takiuchi (Jpn) 21-19, 16-21, 21-19; Liao Chun Chieh-Liao Kuan Hao (Tpe) kln CHOOI KAH MING-YEOH CHOONG HEE 25-23, 21-17.

Beregu wanita: LIM EE VON-NG HUI ERN kln P.C Thulasi-Sikki Reddy (Ind) 17-21, 21-14, 22-20; Lu Lu-Xia Huan (Chn) kln CHONG VEE VIAN-ONG BOON HUI 21-14, 21-11; VIVIAN HOO-TEE JING YI kln Lhamo Karma-Yuden Karma (Bhu) 21-5, 21-4

Beregu campuran: Lu Hsin Hao-Cheng Wan Hui (Tpe) kln LAU WIN HUI-YVONNE ONG 18-21, 21-16, 22-20; Nipitphon Phuangphuapet- Chayanit Chaladchalam (Tha) kln OW YAO HAN-YEOW MIE XI 21-14, 21-16; Chai Biao-Xie Jing (Chn) kln YEW HONG KHENG-LAI PEI JING 21-17, 21-12
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zlra0QUL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan