Rabu, 29 November 2017

Choong Hann idam impian kedua raih pingat

ARKIB : 31/07/2008
KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan lelaki kedua negara, Wong Choong Hann (gambar) berharap dapat merealisasikan impiannya meraih pingat Sukan Olimpik pada penampilan keduanya dalam temasya berprestij itu di Beijing, bulan depan.

"Fokus saya sekarang ialah untuk menang pingat pada Sukan Olimpik. Walaupun persaingan sememangnya sengit tetapi saya masih berazam untuk meraih pingat di Olimpik,'' katanya.

Dia kini menjalani latihan di bawah pengawasan jurulatih Wong Tat Meng sebagai persiapan mencapai impian mencari pingat Olimpik itu.

Selain Choong Hann, Lee Chong Wei turut akan menggalas cabaran negara dalam perseorangan lelaki acara badminton Sukan Olimpik yang membuka gelanggang pada 9 Ogos ini.

"Saya masih ingat perlawanan di Olimpik empat tahun dulu tetapi sekarang bukan masanya memikirkan kekecewaan yang sudah berlalu. Saya perlu bersemangat dan mempunyai ketahanan mental yang kuat," katanya.

Undian acara badminton Sukan Olimpik baru-baru ini, jelas tidak berpihak kepada Choong Hann.

Beliau terpaksa memulakan saingan di Beijing dengan menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens, Taufik Hidayat dari Indonesia pada pusingan kedua.

"Ia memang saingan yang sengit. Bagi saya, saya sudah melakukan persediaan terbaik dan bersedia untuk berdepan dengan beliau (Taufik).

"Buat masa sekarang ini, saya bebas daripada sebarang kecederaan tetapi hanya kesakitan biasa bila sudah berumur seperti ini," kata pemain kidal yang kini berada pada ranking ke-12 Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Choong Hann bersama lapan lagi pemain badminton negara akan berangkat ke Beijing 5 Ogos ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zoma8FMI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan