Rabu, 22 November 2017

Beregu kontroversi wakil tunggal ke separuh akhir



ARKIB : 19/04/2008

JOHOR BAHRU - Beregu kontroversi, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memperoleh kesempatan terbaik untuk memulihkan reputasi yang tercemar apabila menjadi wakil tunggal Malaysia melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC), semalam.

Harapan seluruh rakyat Malaysia kini terletak di bahu pasangan muda yang pernah dikritik hebat angkara prestasi buruk dan masalah disiplin itu selepas semua wakilnya yang lain gagal melepasi saingan suku akhir.

Paling mengecewakan adalah kekalahan mengejut pasangan nombor satu negara dan penyandang juara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah kepada beregu Korea, Hwang Ji Man-Lee Jae Jin. Pilihan pertama itu tewas 21-16, 17-21, 8-21.

Turut tersingkir adalah pilihan kedua dan juara Terbuka China, Wong Mew Choo, yang tumpas 19-21, 14-21 kepada pemain muda China, Wang Lin dalam saingan perseorangan wanita.

Terdahulu, dua perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann juga gagal meneruskan cabaran.

Selepas mengejutkan pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai pada pusingan ketiga kelmarin, Hafiz terpaksa akur 16-21, 17-21 kepada naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Choong Hann juga mengalami kekalahan straight-set, tumpas 11-21, 18-21 kepada juara Seluruh England dan pilihan keempat, Chen Jin dari China.

Selepas menerima kritikan hebat ekoran kemerosotan prestasi yang dialami sejak tahun lalu, Kien Keat-Boon Heong meneruskan langkah memulihkan prestasi dengan menumpaskan rakan senegara dan pilihan keenam, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif 21-11, 12-21, 21-10.

Hari ini, beregu nombor enam dunia itu bakal berdepan cabaran sengit beregu handalan Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae, yang mara selepas menewaskan pasangan Jepun, Keita Masuda-Tadashi Ohtsuka 21-14, 21-14.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4z9dkWT63
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan