Jumaat, 17 November 2017

Malaysia juara benam Korea



ARKIB : 25/02/2008

KUALA LUMPUR – Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan barisan ‘caca merba’ Korea Selatan 3-2 untuk muncul juara kelayakan Piala Thomas zon Asia di Ho Chi Minh, Vietnam semalam.

Muhammad Hafiz Hashim memberi mata kemenangan negara dalam perlawanan yang tidak diambil serius oleh Korea.

Korea bukan saja merehatkan pemain utamanya, Lee Hyun Il, malah menurunkan perseorangan kedua, Park Sung Hwan dalam acara beregu, manakala pakar beregu, Lee Yong Dae turun sebagai perseorangan ketiga.

Hanya pemain perseorangan Malaysia, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Hafiz berjaya mempamer kemampuan sebenar, sedangkan dua beregu kita, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari kalah kepada lawan tidak sepatutnya.

Chong Wei meraih mata pertama Malaysia selepas menundukkan Shon Seung Mo 21-8, 21-11.

Mengejut

Begitupun juara Seluruh England, Kien Keat-Boon Heong tewas mengejut 16-21, 21-17, 19-21 kepada Lee Jae Jin-Jung Jae Sung, pasangan yang kali terakhir digandingkan pada 2005.

Choong Hann meletakkan Malaysia di depan dengan 2-1 selepas menewaskan Lee Cheol Ho 21-6, 21-17, namun pasukan negara menerima satu lagi tamparan apabila Zakry-Fairuzizuan pula kalah kepada pasangan bidan terjun, Hwang Ji Man-Sung Hwan 19-21, 18-21.

Selepas melihat aksi mengecewakan daripada pemain beregu, Hafiz memastikan tiada lagi keaiban berlaku apabila menutup saingan dengan menewaskan Yong Dae 21-17, 21-10.

Sementara itu, skuad Piala Uber Malaysia menamatkan kempen kelayakan di tangga ketiga selepas membenam Hong Kong 3-0 dalam saingan playoff.

Jika Malaysia merehatkan perseorangan utamanya, Wong Mew Choo, Hong Kong pula tidak menurunkan Wang Chen dan Zhou Mi.

Pemain remaja, Julia Wong mengutip mata sulung negara dengan mengalahkan Ng Ka Shun 21-10, 16-21, 21-17, manakala Anita Raj Kaur menang 21-17, 21-12 ke atas Mong Kwan Yi untuk mata kedua Malaysia.

Beregu utama, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melengkapkan kemenangan 3-0 dengan menewaskan Chau Hoi Wah-Tse Ying Suet 21-15, 21-9.

Pasukan Piala Thomas dan Piala Uber Malaysia sudah melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Jakarta pada 11-18 Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yhhh44l6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan