Ahad, 26 November 2017

Beng Hong singkir juara bertahan

ARKIB : 13/06/2008
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Kuan Beng Hong melakar kejutan terbesar pada kejohanan badminton Terbuka Singapura apabila membenam juara bertahan, Boonsak Ponsana untuk mengetuai kemaraan tiga perseorangan negara ke suku akhir, semalam.
Beng Hong, yang berikrar untuk menjadikan Terbuka Singapura sebagai medan kebangkitan, membenam jaguh Thailand dan pilihan kelapan itu 16-21, 22-20, 21-17 untuk berdepan pemain England, Andrew Smith hari ini.
Karier badminton Beng Hong, 27, mengalami kemerosotan teruk sejak 2006 selepas dia gagal menerima kekalahannya kepada Joachim Persson dari Denmark dalam separuh akhir Piala Thomas di Jepun.
Kekalahan tersebut menyebabkan Malaysia tumpas 2-3 kepada Denmark dan meninggalkan kesan mendalam kepada Beng Hong hingga tersungkur ke ranking 109 dunia.
Sementara itu, jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei meneruskan usaha untuk memburu kejuaraan Siri Super keduanya tahun ini dengan melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan rakan sepasukan, Wong Choong Hann 17-21, 21-5, 21-9.
Juara Terbuka Malaysia dan pilihan pertama itu akan menentang Persson di suku akhir hari ini.
Turut mara ke suku akhir pemain KLRC, Sairul Amar Ayob yang menundukkan Anup Sridhar dari India 21-17, 21-13 dan akan berdepan pemain muda Indonesia, Simon Santoso.
Pasangan nombor tiga Malaysia, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif pula mengetuai kemaraan lima beregu lelaki negara suku akhir.
Namun begitu, tumpuan adalah kepada pasangan senior, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang mengejutkan pilihan kelima, Alvent Yulianto-Luluk Hadiyanto dari Indonesia 17-21, 21-18, 23-21.
Gandingan Khoo Chung Chiat-Tan Bin Shen pula mengejutkan pilihan kelapan dari Jepun, Keita Masuda-Ohtsuka Tadasi 21-16, 21-17.
Chong Ming-Choon Eng kini akan menentang pasangan senegara, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui, yang menyingkirkan beregu tuan rumah, Riky Widianto-Jeffrey Wong 21-7, 21-14.
Chung Chiat-Bin Shen pula akan berdepan Fairuzizuan-Zakry, yang menewaskan Yonatan Suryatam Dasuki-Rian Sukmawan dari Indonesia 21-18, 21-12.
Turut meneruskan cabaran ke suku akhir adalah pasangan muda, Mohd. Razif Abdul Latif-Tan Wee Kiong yang menumpaskan Muhd. Azlin Latib-Terry Yeo dari Singapura 21-9, 21-12 untuk menentang beregu China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo.
Cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita diteruskan oleh Wong Mew Choo, yang mengalahkan Wang Lin dari China 21-12, 16-21, 21-16 untuk menempah pertemuan dengan pemain Korea Selatan, Hwang Hye Youn.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zaWeOQcd 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan