Sabtu, 24 Mei 2014

Piala Thomas: Rayuan terbuka KJ kepada Astro

MUHD HAFIZ MAHMOOD
24 Mei 2014
 Piala Thomas: Rayuan terbuka KJ kepada Astro
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, membuat rayuan terbuka melalui laman sosial Facebook beliau supaya perlawanan final Piala Thomas dapat disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut beliau, hak siaran tersebut perlu dikurangkan atau dihadiahkan kepada rakyat Malaysia menerusi RTM kerana terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang masih tidak melanggan Astro.

"Bukan selalu kita masuk final Piala Thomas, kali terakhir 12 tahun lepas dan kali terakhir kita menang ialah 22 tahun yang lepas.

“Siaran perlawanan akhir esok harus dibawa kepada seluruh rakyat menerusi rancangan percuma," katanya.

Terdahulu, Khairy dipetik sebagai berkata, pihak RTM tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membayar syarikat televisyen swasta Astro untuk membeli siaran secara langsung dari stesen tersebut.

Beliau juga difahamkan bahawa kebanyakan peruntukan penyiaran sudah disalurkan untuk hak siaran Piala Dunia Bola Sepak yang akan berlangsung di Brazil, bermula 12 Jun hingga 13 Julai ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa RTM tidak menyiarkan siaran langsung Piala Thomas peringkat separuh akhir malam tadi kerana hak penyiaran diperoleh sebuah syarikat televisyen swasta.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur manakala kali terakhir layak ke perlawanan akhir ialah ketika di Guangzhou pada 2002 dan tewas 2-3 kepada Indonesia.
RUJUKAN – SINAR HARIAN ONLINE 24.5.14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan