19 OGOS 2016
Lee Chong Wei Pemain badminton
negara Datuk Lee Chong Wei meraikan kejayaan menumpaskan musuh tradisinya
pemain China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir di Riocentro Pavilion 4
Temasya Sukan Olimpik Rio 2016. - Foto Bernama
AYAH kepada Datuk Lee Chong
Wei, Lee Ah Chai positif anaknya mampu meraih pingat emas setelah beliau
berjaya menewaskan musuh tradisinya, Lin Dan dalam pusingan separuh akhir
badminton perseorangan lelaki di Rio de Janeiro hari ini.
Beliau yang berbangga dengan
pencapaian Chong Wei berharap pemain nombor satu negara itu terus fokus dan
memastikan perhatiannya tidak terganggu untuk menghadapi perlawanan akhir esok.
"Beliau bermain dengan
baik malam ini meskipun melakukan kesilapan di set pertama, namun beliau
bangkit semula di set kedua. Sudah semestinya sebagai ayah, saya sangat
berbangga dengan pencapaian beliau," katanya ketika dihubungi Bernama
selepas tamat perlawanan itu.
Chong Wei berjaya memusnahkan
impian Lin Dan untuk mara ke pusingan akhir badminton perseorangan lelaki
apabila menewaskannya dalam rubber set 15-21, 21-11 dan 22-20.
Pusingan akhir badminton
perseorangan lelaki yang akan berlangsung esok akan menyaksikan Chong Wei
bertemu Cheng Long dari China.
Ah Chai turut berterima kasih
atas sokongan berterusan seluruh rakyat Malaysia dan berharap anaknya dapat
menggalas harapan tersebut dan membawa pulang pingat emas buat negara.
Terdahulu, seramai 500 orang
hadir untuk menyaksikan secara langsung perlawanan separuh akhir tersebut di
Gurney Paragon, di sini yang disediakan satu skrin besar oleh Hunza Properties.
Bagi Lim Lee Peng, 39, yang
turut hadir berkata beliau sangat berbangga dengan corak permainan Chong Wei
dan akui Lin Dan adalah pemain badminton yang sangat hebat.
"Lin Dan bukanlah pemain
yang calang-calang dan Chong Wei telah berjaya menewaskannya, meskipun sukar.
Sebagai rakyat Malaysia, kami sangat berbangga dengan beliau. Selamat berjuang
di final nanti," katanya. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18
OGOS 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan