Sabtu, 6 Mei 2017

Kim Hock ketua jurulatih

RKIB : 15/01/2005

MOHD. NADZMI (kanan) Kim Hock (kiri) dan Rashid saling menggenggam tangan sejurus pengumuman ketua jurulatih pasukan badminton negara di Kuala Lumpur, semalam.


JURULATIH beregu, Yap Kim Hock menepati jangkaan apabila dilantik sebagai ketua jurulatih baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam menggantikan Misbun Sidek yang tidak berminat mengekalkan jawatan tersebut.
Mesyuarat Exco BAM yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh semalam turut mengumumkan bekas pemain perseorangan negara, Rashid Sidek sebagai ketua jurulatih bagi pasukan badminton remaja negara.
Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan teka teki siapa bakal menggalas tugas selaku ketua jurulatih selepas ketibaan jurulatih dari China, Li Mao minggu lalu.
Sebelum ini, Li Mao dikatakan bakal mengambil alih posisi Misbun namun BAM lebih mengutamakan tenaga tempatan.
Ketika mengumumkan pelantikan tersebut, Mohd. Nadzmi berkata Kim Hock merupakan calon paling sesuai untuk memikul tugas ketua jurulatih negara kerana beliau merupakan anak tempatan dan berpengalaman luas.
Menurutnya, sebagai anak tempatan, Kim Hock dapat memahami apa yang diperlukan pemain, selain memiliki reputasi tinggi kerana pengalaman beraksi sehingga ke sukan Olimpik.
``Sebagai ketua jurulatih, Kim Hock akan bertanggungjawab terhadap pasukan elit dengan keutamaan diletakkan untuk mencapai kejayaan dalam Projek 2006-2008.
``Dalam tempoh tersebut, BAM mahu melihat hasil dalam beberapa pertandingan antarabangsa seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel serta Sukan Olimpik 2008 di China.
``BAM memberi kuasa penuh kepada Kim Hock memilih atau menentukan pemain yang menganggotai pasukan elit negara.
``Dia juga diberi kuasa penuh untuk memilih atau menentukan jurulatih bagi acara perseorangan dan beregu,'' katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di Kuala Lumpur, semalam.
Kim Hock, 35, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki dua tahun lalu menggantikan Park Joo-Bong dari Korea Selatan.
Sementara itu, sekali pun tidak lagi mengisi jawatan ketua jurulatih negara, Misbun antara senarai utama Kim Hock untuk terus melatih barisan pemain perseorangan negara bersama Li Mao.
Misbun dan Li Mao dijangka akan terus diberi kepercayaan melatih pemain elit sedia ada iaitu Wong Choong Hann, Lee Chong Wei, Lee Tsuen Seng, Kuan Beng Hong, K. Yogendran, Mohd Hazwan Jamaluddin dan pemain Nusa Mahsuri, Mohd Hafiz Hashim dan Roslin Hashim.
Kim Hock dilihat akan terus memberi keutamaan tugas melatih pemain beregu lelaki dengan bekas pemain beregu negara, Cheah Soon Kit antara jurulatih yang bakal disenaraikan.
Kim Hock mempunyai pengalaman luas mengendalikan pemain beregu berprestasi tinggi seperti Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, malah menaikkan nama beregu muda Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui, Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latifi dan Koo Kien Keat.
Mohd. Nadzmi berkata, ini merupakan kali pertama BAM menyusun program jangka panjang dalam struktur latihan dengan matlamat negara tidak ketandusan pemain pelapis.
``Selain mahukan kejayaan segera melalui Projek 2006-2008, BAM memberi tumpuan khusus kejayaan dalam tempoh jangka panjang di bawah Projek 2010-2012,'' katanya.
Sementara itu, Rashid yang menjadi pembantu kepada Misbun sebelum ini diberi tanggungjawab melahirkan barisan pemain pelapis di bawah Projek Tahun 2010-2012 BAM.
Pemilihan Rashid sebagai ketua jurulatih untuk pemain junior bertepatan dengan minat beliau sendiri untuk melatih pemain muda.
Apatah lagi Rashid tidak memiliki pengalaman luas bagi diberi tanggungjawab melatih pemain elit dan dia sendiri mengakui lebih berminat melatih pemain berusia antara 17 dan 19 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan