Sabtu, 27 Mei 2017

Semua pemain negara mara



ARKIB : 11/03/2005

BIRMINGHAM, England - Kuan Beng Hong menebus kekalahannya kepada Anders Boesen pada Terbuka Jerman minggu lalu apabila mengejutkan pilihan ke-12 dari Denmark itu pada pusingan kedua badminton Seluruh England semalam, untuk mengetuai kemaraan enam perseorangan Malaysia ke pusingan ketiga.

Cabaran negara di National Indoor Arena (NIA) turut diteruskan oleh beregu Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Ong Soon Hock-Tan Bin Shen yang melepasi pusingan pertama bersama wakil tunggal perseorangan wanita, Wong Mew Choo.

Beng Hong, 22, yang disingkirkan 11-15, 10-15 oleh Boesen pada pusingan pertama Terbuka Jerman menebus kekalahan tersebut dengan kemenangan 15-11, 15-8 dalam perlawanan 38 minit, semalam.

Anak didik Misbun Sidek itu kini akan berdepan rakan sebiliknya di Birmingham, Lee Chong Wei yang mara selepas mengetepikan Kendrick Lee dari Singapura 15-8, 15-9.

Seperti yang diduga, Muhd. Hafiz Hashim tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan pemain Jerman, Marc Zwiebler 15-8, 15-4, dan juara 2003 itu juga boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bertemu pemain nombor tiga dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark di pusingan ketiga.

Kenneth yang mengalahkan Hafiz dalam dua pertemuan terakhir dikejutkan oleh pemain Jepun, Shoji Sato 7-15, 15-8, 15-10.

Naib juara dunia, Wong Choong Hann pula dipaksa berhempas pulas selama 48 minit sebelum menundukkan juara remaja dunia, Chen Jin dari China 15-13, 15-10 untuk bertemu Liao Sheng-Shiun dari Taiwan.

Jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim menempah pertemuan sukar dengan pemain nombor dua dunia Denmark, Peter Gade-Christensen pada pusingan ketiga selepas mengalahkan Andrew Dabeka dari Kanada 15-6, 15-7.

Pemain kontroversi, Sairul Amar Ayob pula diheret ke permainan tiga set ketika melepasi pemain Denmark, Michael Christensen 15-5, 10-15, 15-1 di pusingan kedua. Terdahulu, Sairul turut dikerah dalam aksi tiga set ketiga menewaskan Jens-Kristian Leth juga dari Denmark 15-17, 15-10, 15-10.

Sementara itu, Soon Hock-Bin Shen yang beraksi pada kejohanan Seluruh England pertama mereka menewaskan Gallet Bertrand-Lefort Michel dari Perancis 15-1, 15-11 dan menempah pertemuan dengan Jeon Jun-burn-Lee Yong-dae dari Korea.

Pasangan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat juga akan bertemu beregu Korea, Han Sang-hoon-Hwang Ji-man selepas mengetepikan Matthew Hughes-Martyn Lewis dari Wales 15-3, 15-2.

Mew Choo yang beraksi pada kejohanan antarabangsa pertamanya selepas kembali daripada kecederaan panjang mudah menyingkirkan Kati Tolmoff dari Estonia 11-1, 11-1. Menantinya di pusingan kedua ialah Cheng Shao-Chieh dari Taiwan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iGw448jZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan