Isnin, 29 Mei 2017

Malaysia belasah Rusia 5-0



ARKIB : 12/05/2005

PEMAIN negara, Muhammad Hafiz Hashim melakukan smash sewaktu menentang pemain Rusia, Vladimir Malkov dalam saingan badminton Piala Sudirman di Beijing, semalam. Muhammad Hafiz menang 15-1 15-2. - Gambar Reuters.

BEIJING - Malaysia akan menurun-kan barisan terkuatnya apabila menentang Belanda pada perlawanan genting Kumpulan 2A hari ini, selepas menepati ramalan dengan membelasah Rusia 5-0 pada kejohanan badminton Piala Sudirman, semalam.

Selepas mencuba kombinasi Wong Choong Hann-Wong Pei Tty ketika mengalahkan Taiwan 4-1 pada perlawanan pembukaan kelmarin, pasukan negara menggandingkan pula Lee Chong Wei dan Chin Eei Hui dalam pertemuan dengan Rusia.

Pasangan `bidan terjun' itu berjaya menyumbangkan mata sulung Malaysia apabila menundukkan Ivanov Vladimir-Sorokina Valeri 15-5, 15-6 dalam acara beregu campuran.

Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock menegaskan, Malaysia tidak akan melakukan eksperimen lagi apabila bertemu Belanda, yang merupakan ujian terbesarnya dalam Kumpulan 2A.

Itu bermakna, Pei Tty akan kembali digandingkan dengan pasangan asalnya, Koo Kien Keat dalam beregu campuran. Pasangan nombor 13 dunia itu merupakan juara Terbuka Taiwan dan naib juara Terbuka Singapura, tahun lalu.

Wong Mew Choo dan Pei Tty-Eei Hui pula menjadi sandaran untuk mengutip mata menerusi perseorangan serta beregu wanita, manakala Wong Choong Hann menjadi pilihan untuk bergandingan dengan Chan Chong Ming dalam beregu lelaki.

``Kita masih belum menentukan pemain yang akan membawa cabaran perseorangan lelaki, ia mungkin (Lee) Chong Wei atau (Muhd.) Hafiz (Hashim).

``Apa yang pasti, sekarang bukan masa untuk menguji sesiapa, hanya yang terbaik akan diturunkan untuk menghadapi Belanda. Ia tidak seperti pertemuan dengan Taiwan dan Rusia, ia lebih sukar daripada itu,'' kata Kim Hock ketika dihubungi di Beijing, semalam.

Bagaimanapun, menurut Kim Hock, selepas menyaksikan perlawanan Belanda dan Taiwan, yang dimenangi Belanda dengan keputusan tipis 3-2, beliau yakin Malaysia memiliki sedikit kelebihan dan meramalkan peluang adalah 55-45.

Katanya, kekuatan Belanda adalah pada perseorangan dan beregu wanita, di mana beliau menjangkakan lawan akan memaksimumkan kudrat dua bintang dunia, Yao Jie dan Mia Audina dalam kedua-dua acara.

Malah, Malaysia juga harus membuat percaturan bijak dalam perseorangan lelaki kerana Belanda mampu mencipta kejutan menerusi pemain nombor 18 dunia, Dicky Palyama.

Pada perlawanan semalam, kemenangan 5-0 ke atas Rusia sudah dijangkakan, malah Malaysia hanya mengambil masa dua jam 17 minit secara keseluruhannya.

Selepas mengutip mata pertama menerusi Chong Wei-Eei Hui, juara Terbuka Thailand dan Switzerland, Muhd. Hafiz Hashim memberikan mata kedua apabila mudah mengalahkan Vladimir Malkov 15-1, 15-2 dalam saingan yang berlangsung selama 21 minit.

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Mew Choo meneruskan aksi konsistennya dalam dua perlawanan, kali ini mengambil masa 29 minit saja untuk memastikan kemenangan Malaysia, mengalahkan Ella Karachkova 11-9, 11-0.

Chong Ming-Kien Keat menjadikan kedudukan 4-0 dengan menumpaskan Alexander Nickolaenko-Vitali Durkin 15-0, 15-8 dan Pei Tty-Eei Hui melengkapkan kemenangan 5-0 dengan menang 15-10, 15-11 ke atas Nina Vislova-Sorokina Valeri.

Belanda pula dipaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menumpaskan Taiwan 3-2. Mata kemenangan mereka diperoleh menerusi perseorangan lelaki (Palyama), perseorangan wanita (Yao Jie) dan beregu wanita, Mia-Judith Meulendijks.

KEPUTUSAN

Kumpulan 2A

MALAYSIA 5 Rusia 0

LEE CHONG WEI-CHIN EEI HUI kln Ivanov Vladimir-Sorokina Valeri 15-5, 15-6;

MUHD. HAFIZ HASHIM kln Vladimir Malkov 15-1, 15-2;

WONG MEW CHOO kln Ella Karachkova 11-9, 11-0;

CHAN CHONG MING-KOO KIEN KEAT kln Alexander Nickolaenko-Vitali Durkin 15-0, 15-8;

WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kln Nina Vislova-Sorokina Valeri 15-10, 15-11

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTsDWZfc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan