Isnin, 29 Mei 2017

Malaysia kembali ke kelompok elit



ARKIB : 14/05/2005
AKSI Lee Chong Wei ketika membalas hantaran pemain Jepun, Shoji Sato pada perlawanan playoff Piala Sudirman di Beijing semalam. Malaysia menang 3-1 untuk kembali ke Divisyen Satu. - Gambar Reuters.

BEIJING - Malaysia kembali semula sebagai pasukan berstatus elit dalam kelompok lapan pasukan terbaik selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan penentuan di kejohanan badminton campuran Piala Sudirman di Gimnasium Nasional Beijing, semalam.

Kemenangan manis itu memastikan Malaysia berjaya melangkah ke Divisyen Satu pada kejohanan yang sama yang akan diadakan di Glasgow, Scotland pada 2007.

Perhitungan buat Malaysia selepas muncul juara Kumpulan 2A bertemu dengan Jepun selaku juara kumpulan 2B bagi merebut tempat tunggal ke Divisyen Satu di Glasgow jelas memihak kepada pasukan negara.

Malaysia sekali lagi mempamerkan aksi paling menarik sepanjang cabaran di sini dan tidak menghadapi tentangan sengit apabila berdepan dengan Jepun bagi merebut satu tempat tunggal dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada 2007 nanti.

Strategi merombak pasangan beregu campuran apabila Wong Choong Hann digandingkan dengan Wong Pei Tty jelas menjadi kenyataan apabila pasangan itu mengutip mata pertama Malaysia.

Gandingan itu tidak menghadapi masalah apabila mudah menewaskan gandingan Shintaro Ikeda-Tomomi Matsuda 15-7, 15-4 dalam tempoh 33 minit.

Selepas itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Chong Wei menyuntik semangat apabila menggunakan setiap pengalamannya untuk mencapai kemenangan mudah 15-3, 15-0 ke atas Shoji Sato.

Kemenangan mudah Chong Wei ketika itu menjadikan kedudukan Malaysia mengatasi Jepun 2-0.

Selepas ketinggalan Jepun kembali bertenaga apabila berjaya merapatkan kedudukan 2-1 apabila jaguh perseorangan wanita mereka Eriko Hirose menyumbang mata pertama negara matahari terbit itu.

Hirose bagaimanapun terpaksa berhempas pulas hingga ke set penentuan sebelum dapat menewaskan pemain perseorangan wanita negara, Wong Mei Choo 11-1, 8-11 dan 11-8 dalam tempoh 58 minit.

Bagaimanapun Malaysia memahatkan kemenangan manis ke atas Jepun apabila gandingan beregu lelaki negara menerusi Koo Kian Keat-Chan Chong Ming mudah menewaskan gandingan Keita Masuda-Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-13.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh enam tahun Malaysia kembali beraksi dalam Divisyen Satu selepas tewas 2-3 kepada Hong Kong dalam playoff, dua tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam kumpulan utama adalah di Copenhagen, Denmark pada 1999.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iU0oaHat
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan