Rabu, 31 Mei 2017

Tan Fook, Choon Eng layak ke AS



ARKIB : 18/06/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
 KUALA LUMPUR - Pasangan senior, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng dan beregu wanita, Fong Chew Yen-See Phui Leng menjadi pemain terbaru Malaysia melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Dunia di Anaheim, Amerika Syarikat, Ogos ini.

Kedua-dua beregu negara itu berjaya mendapat tempat dalam senarai kelayakan fasa tiga yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam.

Bagaimanapun kedudukan mereka untuk beraksi pada kejohanan 15-21 Ogos itu hanya akan ditentukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada mesyuarat 22 Jun ini.

Namun begitu, Pengurus Besar BAM, Gangga Rao tidak menolak kemungkinan peluang kedua-dua pasangan itu untuk beraksi amat tipis terutama Tan Fook-Choon Eng yang kini tidak lagi bergandingan.

``Keutamaan kita apabila menghantar pemain ke sesuatu kejohanan utama adalah melihat sejauh mana potensi mereka untuk menang, bagi kes Tan Fook dan Choon Eng, biarpun layak namun prestasi mereka agak meragukan kerana sudah tidak lagi berpasangan.

``Mungkin lebih baik sekiranya kita tumpukan saja kepada persiapan mereka untuk menghadapi Sukan SEA (Manila, November) dan Sukan Asia (Doha, 2006).

``Apa pun itu bukan kuasa saya untuk menentukan kedudukan mereka, ia hanya akan dibincang dan diputuskan apabila pengurusan BAM dan jurulatih kebangsaan bermesyuarat, Rabu depan,'' kata Gangga.

Tan Fook, 29, yang tidak pernah terlepas aksi Kejohanan Dunia sejak melayakkan diri ke separuh akhir di Seville pada 2001 baru pulih daripada kecederaan lutut yang menyebabkan dia disisihkan daripada Piala Sudirman, April lalu.

Ketika ketiadaan Tan Fook, Choon Eng, 28, berpasangan dengan pemain remaja, Hong Chieng Hun dan kedua-duanya beraksi pada Terbuka Kedah, April lalu.

Bagaimanapun pemain itu berpasangan dengan jaguh perseorangan negara, Wong Choong Hann pada Terbuka Pahang yang sedang berlangsung di Kuantan.

Tan Fook pula kembali kepada pasangan lamanya, Lee Wan Wah - gandingan yang berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia tahun lalu, selain layak ke Kejohanan Dunia 2001 dan muncul naib juara Seluruh England 2004.

Selain Tan Fook-Choon Eng, yang berada di ranking 19 dunia, enam lagi beregu yang turut layak pada saat akhir adalah pasangan Denmark, Thomas Laybourn-Peter Steffesen, beregu Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian, Shoji Sato-Sho Sasaki dari Jepun, Simon Archer-Anthony Clark (England), Paul Trueman-Ian Palethorpe (England) dan beregu Korea, Ha Tae-kwon-Yim Bang-eun.

Malaysia sudahpun mempunyai tiga wakil dalam beregu lelaki pada Kejohanan Dunia, diketuai Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iec4WOgQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan