Rabu, 31 Mei 2017

Hafiz tumbangkan juara dunia



ARKIB : 07/07/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi


KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz Hashim menumbangkan juara dunia, Xia Xuanze dari China untuk mengetuai kemaraan lapan perseorangan lelaki negara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Stadium KLBA, Cheras semalam.

Kecemerlangan negara pada kejohanan AS$120,000 (RM456,000) itu juga diteruskan oleh beregu bidan terjun, Chew Choon Eng-Wong Choong Hann yang mengejutkan pilihan keenam, Jung Jae-Sung-Lee Jae-jin dari Korea Selatan 3-15, 15-7, 15-11.

Terdahulu, beregu veteran dan penyandang juara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah juga menyingkirkan pasangan berpengalaman Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian 17-16, 15-12.

Tan Fook-Wan Wah kini akan berdepan pilihan pertama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto dari Indonesia yang dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan pasangan muda negara, Mohd. Zakri Latif-Gan Taik Chai 8-15, 15-11, 15-17.

Sementara itu Hafiz, juara Seluruh England dan pilihan keenam, tidak mengambil masa yang lama untuk menundukkan pemain Xuanze 15-12, 15-0.

``Saya tidak sangka akan menang semudah ini terutama pada set kedua,'' kata Hafiz, yang akan menentang Nguyen Tien Minh dari Vietnam di pusingan kedua hari ini.

``Mengalahkan juara dunia ketika Kejohanan Dunia sudah semakin hampir memberi suntikan moral kepada saya.''

Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei juga bermula baik dalam usaha mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan pemain Korea Selatan , Lee Cheol Ho 15-6, 17-15 untuk. Menantinya di pusingan kedua hari ini adalah Agus Hariyanto dari Hong Kong.

Selepas layak ke pusingan kedua beregu lelaki, naib juara dunia, Choong Hann turut melayakkan diri dalam acara perseorangan selepas menewaskan Peter Mikkelsen dari Denmark 15-5, 15-2.

Jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim pula bakal berdepan pemain nombor tiga dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark selepas menewaskan seorang lagi pemain Denmark, Michael Christensen 15-3, 15-6.

Gade-Christensen sebelum itu mengetepikan pemain negara, Lee Tsuen Seng dalam perlawanan sengit yang berkesudahan 15-7, 10-15, 15-8.

Empat lagi perseorangan negara yang turut melepasi pusingan awal adalah Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin, Sairol Amar Ayob dan K. Yogendran.

Beng Hong menewaskan Jung Hoon Min dari Korea 15-1, 15-3 untuk bertemu Sony Dwi-Kuncoro dari Indonesia, Sairol menumpaskan Arvind Bhat dari India 15-6, 15-3 dan akan berdepan Chen Hong dari China.

Kay Bin pula menewaskan Bjoern Joppien dari Jerman 15-8, 15-2 untuk bertemu Joachim Persson dari Denmark, manakala Yogendran akan berdepan pemain nombor dua dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark selepas mengalahkan Andrew Dabeka dari Kanada 11-15, 15-8, 15-3.

Selain Tan Fook-Wan Wah dan Choon Eng-Choong Hann, cabaran beregu lelaki Malaysia diteruskan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Woon Lin Fun.

Chong Ming-Kiet Keat mara selepas menumpaskan pasangan Denmark, Rasmus Mangor Andersen-Michael Lamp dari Denmark 15-1, 15-6, Fairuzizuan-Lin Fui pula menewaskan beregu Indonesia, Ruben Gordown Khosadalina-Aji Basuki Sindoro 15-11, 15-11.

Bin Shen-Soon Hock, satu lagi beregu muda yang bakal beraksi pada Kejohanan Dunia bulan depan mengalahkan Matthew Hughes-Martyn Lewis dari Wales 15-4, 15-9.

Pasangan nombor tujuh dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Fong Chew Yen-See Phui Leng pula meneruskan kemaraan ke pusingan kedua beregu wanita.

Bagaimanapun cabaran Malaysia dalam beregu campuran berakhir selepas keempat-empat wakilnya tewas seawal pusingan pertama.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ihyWXKKO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan