Jumaat, 5 Mei 2017

Harapan Malaysia musnah

ARKIB : 19/12/2004
JAKARTA - Harapan Malaysia untuk membawa pulang satu kejuaraan daripada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia yang berlangsung di sini berkecai setelah wakil tunggal di peringkat separuh akhir, Koo Kien Keat dan Wong Pei Tty tumpas semalam.
Pasangan pilihan ketujuh kejohanan itu bagaimanapun memberikan tentangan sengit sebelum menyerah dalam permainan rubber set kepada pilihan keempat, Robert Blair-Natalie Munt dari England 15-9, 3-15, 15-8.
Pasangan England itu akan menentang pilihan ketiga, Zhang Jun-Gao Ling dari China yang menang ke atas beregu Singapura, Hendry Kurniawan Saputra-Li Yujia 15-10, 15-8.
Wira Olimpik Indonesia dan juara bertahan, Taufik Hidayat pula menundukkan pilihan pertama dari China, Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir yang begitu hebat pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di sini semalam.
Taufik bermula dengan buruk dan kelihatan agak gementar pada set pertama untuk kalah 15-5 tetapi mendapat rentak di set kedua untuk menang 15-5 bagi memaksa perlawanan ditentukan menerusi permainan rubber set.
Lin Dan melakukan beberapa kesilapan pada set ketiga dan ketinggalan 5-9 sebelum mendahului 11-9.
Tetapi Taufik, dengan dibantu oleh sorakan penyokong tempatan yang tidak henti-henti menjeritkan namanya, membuktikan kejaguhannya untuk menamatkan permainan dengan kemenangan 15-11.
Taufik, yang memenangi pingat emas perseorangan lelaki di Olimpik Athens, akan bertemu seorang lagi pemain China, Chen Hong yang merupakan pilihan ketiga pada perlawanan akhir hari ini.
Chen mara selepas menumpaskan rakan senegara, Bao Chunlai 6-15, 15-6, 15-9.
Dalam acara perseorangan wanita, pemain tidak ternama Eriko Hirose dari Jepun mempamerkan permainan bertenaga untuk menumpaskan pilihan ketujuh, Salakjit Ponsana dari Thailand 2-11, 11-9, 11-7. Dia akan bertemu pilihan kedua dari China, Xie Xingfang yang mara setelah menang ke atas Tracey Hallam dari England 11-4, 11-6
Pasangan nombor satu dunia, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto dari Indonesia pula menyingkirkan pilihan kelapan dari Malaysia, Chew Choon Eng-Choong Tan Fok 15-7, 13-15, 15-3 untuk bertemu pilihan kedua, Fu Haifeng-Cai Yun dari China, yang menumpaskan pasangan veteran Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian 17-15, 15-8.
Dalam acara beregu wanita, China menguasai perlawanan akhir.
Pilihan pertama, Yang Wei-Zhang Jiewen menumpaskan beregu Korea Selatan, Lee Kyung Won-Ha Jung Eun 15-3, 15-5 manakala pasangan bukan pilihan, Zhang Dan-Zhang Yawen menyingkirkan rakan senegara, Du Jing-Yu Yang 13-15, 15-8, 17-14. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan