Jumaat, 26 Mei 2017

Empat pemain negara berpeluang



ARKIB : 02/03/2005

BIRMINGHAM, England - Sekurangnya-kurangnya empat perseorangan lelaki negara memiliki peluang baik untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England minggu depan apabila diletakkan sebagai pemain pilihan, semalam.

Namun begitu, tiada seorangpun beregu lelaki Malaysia mendapat status tersebut selepas naib juara tahun lalu, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tidak lagi digandingkan bersama.

Anak didik Cheah Soon Kit, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula berpeluang baik untuk beraksi di suku akhir buat kali pertama selepas diletakkan sebagai pilihan ketujuh dalam beregu wanita. Pei Tty-Eei Hui hanya mara ke pusingan ketiga tahun lalu.

Walaupun hanya kedudukan pilihan, namun ia mampu mempengaruhi undian pemain yang akan dilakukan di sini, hari ini.

Semalam, pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei yang akan beraksi di Seluruh England pertamanya diletak sebagai pilihan ketujuh, manakala Wong Choong Hann, yang tersingkir pada pusingan kedua tahun lalu menjadi pilihan kesembilan.

Juara 2003, Muhd. Hafiz Hashim masih memperoleh status pilihan, di kedudukan pilihan ke-16, sementara abangnya, Muhd. Roslin Hashim pilihan ke-14. Tahun lalu Hafiz terkeluar pada pusingan ketiga dan Roslin pula berjaya mara ke suku akhir.

Penyandang juara dan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejohanan 8-13 Mac itu. Selain Lin Dan, China memiliki tiga lagi pemain dalam kedudukan 10 terbaik - juara 2002, Chen Hong (keempat), Bao Chunlai (lima) dan juara dunia, Xia Xuanze (lapan).

Dua perseorangan utama Denmark, Peter Gade-Christensen dan Kenneth Jonassen masing-masing diletak sebagai pilihan kedua dan ketiga, manakala juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia yang memburu gelaran Seluruh England pertamanya adalah pilihan keenam.

Selain Chong Wei, Choong Hann, Roslin dan Hafiz, cabaran Malaysia di National Indoor Arena, Birmingham turut dipikul oleh Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng, Pei Wei Chung dan Sairul Amar Ayob.

Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Tan Fook-Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat mungkin menerima undian sukar lantaran masing-masing terkeluar daripada senarai pilihan.

Juara bertahan, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark merupakan pilihan untuk mempertahankan gelaran tetapi bakal mendapat tentangan sengit daripada pilihan kedua, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto dari Indonesia.

Pada kejohanan 2003, Hafiz berjaya menjadi pemain Malaysia pertama merangkul gelaran perseorangan lelaki dalam tempoh 36 tahun selepas menewaskan penyandang gelaran, Chen Hong dalam perlawanan akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iAupNHW4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan