Jumaat, 5 Mei 2017

Choong Hann terkandas di Copenhagen

ARKIB : 29/12/2004
HASRAT pemain negara, Wong Choong Hann untuk menutup tirai 2004 dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan antarabangsa semakin tipis semalam apabila tewas kepada jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen pada Kejohanan Badminton Copenhagen Masters.
Selepas cemerlang menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan juara Terbuka Indonesia, Taufik Hidayat 15-6, 15-8 dalam aksi pembukaan, Choong Hann terpaksa akur 15-13, 10-15, 1-15 kepada bekas pemain nombor satu dunia, Gade-Christensen.
Choong Hann, 27, yang mengharungi tahun 2004 tanpa sebarang kejuaraan di peringkat tempatan dan antarabangsa kini terpaksa menanti keputusan perlawanan di antara Taufik dan Gade-Christensen untuk menentukan nasibnya.
Copenhagen Masters, kejohanan jemputan yang menawarkan hadiah 320,000 krone (RM222,700) menggunakan format round-robin dengan setiap pemain perseorangan serta beregu dibahagi kepada dua kumpulan dan hanya juara kumpulan layak ke saingan akhir.
Sementara itu, pemain nombor satu negara dan juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei menghidupkan semula peluang untuk melangkah ke final selepas menewaskan juara dunia, Xia Xuanze dari China 15-9, 15-3 dalam perlawanan Kumpulan Dua.
Terdahulu, Chong Wei, 22, yang masih segar dengan kejayaannya menjuarai Grand Prix Kebangsaan Akhir minggu lalu tumpas kepada jaguh Denmark, Kenneth Jonassen 10-15, 13-15.
Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Chong Wei di tangan Jonassen selepas dikecewakan oleh pemain nombor enam itu pada perlawanan akhir Terbuka Singapura, bulan lalu.
Seperti Kumpulan Satu, juara Kumpulan Dua hanya akan ditentukan selepas pertemuan di antara Xuanze dan Jonassen.
Cabaran Malaysia di Denmark turut dipikul oleh beregu muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.
Walaupun tewas dalam perlawanan pembukaan, Bin Shen-Soon Hock berjaya memberi cabaran sengit kepada beregu nombor tiga dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark 9-15, 14-17.
Pasangan muda negara itu bakal berdepan satu lagi ujian sukar hari ini apabila menentang beregu nombor lima dunia, Flandi Limpele-Eng Hian dari Indonesia dalam perlawanan kedua.
Flandi-Eng Hian kemudian akan bertemu Paaske-Rasmussen dalam perlawanan sebelah petang untuk menentukan juara Kumpulan Dua.
Beregu nombor satu dunia dan juara Seluruh England, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark kini mengetuai Kumpulan Satu selepas menewaskan pasangan England, Simon Archer-Robert Blair 15-1, 15-10.
Turut menganggotai kumpulan tersebut ialah pasangan utama China serta nombor enam dunia, Sang Yang-Zheng Bo yang akan bertemu Eriksen-Hansen dan Archer-Blair hari ini.
Sementara itu, gandingan Eriksen-Mette Schjoldager menjadi pemain pertama menempah tiket akhir selepas mengetepikan Chen Qiqiu-Zhao Tingting dari China 15-8, 15-8 dalam saingan beregu campuran.
Satu lagi tempat akan ditentukan oleh Carsten Mogensen-Rikke Olsen dari Denmark dan Nathan Robertson-Gail Emms dari England.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan