Ahad, 28 Mei 2017

Hafiz temui semula keyakinan



ARKIB : 05/04/2005

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR - Juara Terbuka Thailand, Muhd. Hafiz Hashim perlu memecah dominasi kelompok pemain-pemain China pada Terbuka Jepun yang bermula esok untuk mengembalikan sepenuhnya keyakinan menjelang Kejohanan Dunia, Ogos ini.

Jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek mengakui, walaupun gembira dengan prestasi anak buahnya, yang merangkul dua kejuaraan dalam tempoh dua minggu - Terbuka Thailand dan Switzerland, ia belum cukup untuk mengukur keupayaan sebenar bekas juara Seluruh England itu.

Kata Misbun, kemenangan di Bangkok dan Basel hanya dilakukan dalam kelompok pemain yang kecil berbanding dengan cabaran sebenar yang bakal dihadapi di Kejohanan Dunia.

``Hafiz sudah mendapat kembali keyakinannya tetapi belum mencapai tahap ketika dia muncul juara Seluruh England, masih ada jurang,'' kata Misbun ketika dihubungi di Bangkok semalam.

``Saya telah katakan kepadanya, untuk peringkat awal ini dia perlu melepasi satu kumpulan yang agak kecil seperti di Switzerland dan Thailand... dia berjaya melakukannya. Sekarang sudah tiba masa dia cuba melepasi satu kumpulan yang lebih besar di Jepun.''

Kecuali juara dunia, Xia Xuanze, pemain utama China yang lain seperti pemain nombor satu dunia, Lin Dan, juara Seluruh England, Chen Hong dan Bao Chunlai tidak beraksi di Thailand.

Malah, kejohanan tersebut juga berlangsung tanpa juara Eropah, Peter Gade-Christensen dari Denmark, juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia dan dua pemain utama Malaysia, Lee Chong Wei serta Wong Choong Hann.

Pemain nombor empat dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark yang dikalahkan Hafiz pada perlawanan akhir diletakkan sebagai pilihan utama, manakala Xuanze menjadi pilihan kedua.

Sebelum mengalahkan Jonassen 15-13, 15-13 di perlawanan akhir, Hafiz berjaya mengetepikan jaguh Singapura, Ronald Susilo pada separuh akhir dan menyingkirkan Bjoern Joppien dari Jerman di suku akhir.

Pada Terbuka Jepun yang lebih tinggi statusnya dengan menawarkan hadiah kemenangan AS$180,000 (RM684,000), Hafiz dijangka bertemu Jonassen pada pusingan ketiga selepas memulakan saingan dengan berdepan pemain dari pusingan kelayakan.

Jika mara ke suku akhir, menantinya sama ada rakan senegara dan pilihan keenam, Chong Wei, pilihan ke-14, Joppien atau penyandang juara, Ronald. Ketiga-tiga pemain itu telah dikalahkan Hafiz dalam pertemuan terakhir mereka.

Turut membawa cabaran perseorangan negara pada kejohanan terakhir untuk memburu tiket ke Kejohanan Dunia itu adalah Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin, Lee Tsuen Seng dan Sairul Amar Ayob.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iMIm42Lj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan