Sabtu, 27 Mei 2017

Hafiz tambah yakin



ARKIB : 22/03/2005

KUALA LUMPUR - Kejayaan merangkul kejuaraan antarabangsa pertama selepas hampir dua tahun di Terbuka Switzerland kelmarin, memberi kembali keyakinan kepada pemain negara, Muhd. Hafiz Hashim untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Los Angeles, Ogos ini.

Walaupun ia hanyalah kejohanan bertaraf tiga bintang, namun memenangi Terbuka Switzerland bukan saja mengembalikan keyakinan anak buah Misbun Sidek itu, malah mencerahkan peluangnya untuk layak ke Kejohanan Dunia.

Selepas melakar sejarah muncul pemain perseorangan Malaysia pertama menjuarai Seluruh England dalam tempoh 36 tahun pada 2003, Hafiz mengharungi kerjaya yang tidak menentu sepanjang dua tahun ini.

Begitupun kejayaan muncul naib juara Jerman dua minggu lalu membolehkan dia melonjak ke ranking ke-11 dunia.

Kejayaan menumpaskan juara Eropah, Peter Gade-Christensen dari Denmark 17-14, 15-10 pada perlawanan akhir Terbuka Switzerland pula dijangka terus meningkatkan rankingnya, apabila senarai terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Khamis ini.

``Kejohanan Dunia adalah sasaran saya selepas ini. Ia merupakan kejuaraan yang diidamkan oleh semua pemain badminton.

``Kemenangan di Switzerland amat bermakna dan menggembirakan, sudah hampir dua tahun saya tidak menang gelaran di peringkat antarabangsa tetapi apa yang lebih penting, ia membantu memperbaiki ranking dunia saya,'' kata Hafiz.

Pada perlawanan akhir kelmarin, Hafiz dikerah beraksi selama 54 minit sebelum menundukkan pemain nombor tiga dunia, Gade.

Terdahulu dia terpaksa mengharungi pertarungan tiga set selama 85 minit untuk mengalahkan pemain Korea Selatan, Jan Young-Soo di separuh akhir.

Kejohanan terbaru Hafiz selepas ini adalah Terbuka Jepun di Tokyo dari 5-10 April depan.

Kejohanan Dunia pula akan diadakan di Amerika Syarikat dari 15 hingga 21 Ogos tahun ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iKeEDNoZ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan