Rabu, 31 Mei 2017

Empat mara ke pusingan ketiga



ARKIB : 30/06/2005

SINGAPURA - Empat pemain perseorangan mara ketika tiga lagi rakan tersisih di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura bernilai RM646,000 (AS$170,000) di sini, semalam.

Mereka yang mara ke pusingan ketiga ialah Mohd. Hafiz Hashim, Lee Chong Wei, Kuang Beng Hong dan Sairo Amar Ayob manakala tiga yang tewas ialah Wong Choon Hann, Muhd. Roslin Hashim dan Lee Tsuen Seng.

Mohd Hafiz Hashim, juara Seluruh England 2003 tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pemain China, Gong Weijie 15-7, 15-11 pada pusingan kedua semalam.

Hafiz yang juga merupakan semi finalis pada kejohanan ini tahun lepas mengaku dia tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Weijie pada saingan semalam.

Naib juara tahun lalu, Lee Chong wei yang diletakkan sebagai pemain pilihan keempat menepati ramalan untuk mara ke pusingan ketiga setelah menewaskan pemain bukan pilihan dari Denmark, Mikkelsen Peter 15-7, 15-1 dalam masa 22 minit.

Sebelum itu, Chong Wei terlebih dahulu menyingkir pemain China, Chen Jin 15-7, 15-10 pada pusingan pertama.

Sairul Amar Ayob turut mara selepas hanya mengambil masa 26 minit sebelum menundukkan pemain Korea, Lee Cheol Ho 15-1, 15-3.

Pada pusingan pertama, Sairul menewaskan pemain Denmark, Christensen 15-3, 15-3 dalam masa 25 minit.

Beng Hong menewaskan pemain Kanada, Milroy Bob 0-15, 6-15 pada pusingan pertama dan menyingkir pemain Taiwan, Liao Sheng-Shiun 15-10, 16-6.

Pemain Veteran, Muhammad Roslin Hashim yang berjaya melepasi halangan pertama dengan menewaskan pemain tuan rumah, Lee Y H Kendrick terpaksa mengakui kehebatan juara bertahan, Kenneth Jonassen dari Denmark apabila tewas 10-15, 6-16 pada pusingan kedua.

Seorang lagi pemain Veteran, Wong Choong Hann juga terpaksa akur dengan kehebatan lawannya, jaguh Singapura, Ronald Susilo setelah tewas 3-15, 9-15.

Begitupun, Choong Hann masih mempunyai peluang untuk merebut gelaran juara Terbuka Singapura bagi kategori beregu lelaki bersama pasangannya, Chew Choon Eng.

Sebelum itu, empat pemain perseorangan lelaki negara terlebih dahulu tumpas pada pusingan pertama yang diadakan pada sebelah pagi. Pei Wei Chung tumpas kepada pemain Korea, Jang Young Soo 15-8, 15-7 sementara Yeoh Kay Bin dikejutkan pemain kelayakan dari China Weijie 7-15, 15-3, 15-10. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ifuVLY4B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan