Ahad, 7 Mei 2017

Hari buruk kem Malaysia

ARKIB : 28/01/2005
INCHEON - Kem badminton Malaysia mengharungi hari buruk di Terbuka Korea semalam apabila Sairul Amar Ayob menjadi satu-satunya pemain negara yang layak ke suku akhir, itupun selepas mengalahkan rakan senegara sendiri, Mohd. Roslin Hashim.
Harapan untuk melihat dua lagi wakil perseorangan negara, Muhd. Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong berada dalam kelompok lapan pemain terbaik tidak kesampaian apabila kedua-duanya kandas pada pusingan ketiga.
Tambah mengecewakan lagi, ketiga-tiga beregu lelaki, Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latif, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock terpaksa melupakan kejohanan AS$250,000 (RM950,000) itu seawal pusingan pertama dan kedua.
Cabaran Malaysia dalam beregu wanita juga berakhir dengan kekalahan mengejut pilihan ketiga, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau serta Fong Chew Yen-See Phui Leng.
Sairul, pemain 33 dunia yang sedang mengintai tempat untuk kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan, mencerahkan peluangnya apabila menundukkan jaguh veteran, Roslin 15-9, 12-15, 15-11.
Begitupun Sairul berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir apabila menentang pilihan pertama dan juara Eropah, Peter Gade-Christensen dari Denmark yang tidak menghadapi masalah untuk layak selepas menang mudah 15-1, 15-4 ke atas pemain tuan rumah, Ko Joon-hyung.
Sementara itu Hafiz terus gagal dalam pemburuannya untuk merangkul gelaran pertama sejak muncul juara Sukan Komanwel dan Seluruh England 2003 apabila terpaksa akur kepada juara Terbuka Singapura, Kenneth Jonassen dari Denmark 15-5, 15-11.
Pemain muda negara, Beng Hong pula gagal menepati sasarannya untuk layak sekurang-kurangnya ke suku akhir selepas tewas kepada pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana 15-9, 15-10.
Seperti diduga, dua beregu muda negara, Taik Chai-Zakry dan Fairuzizuan-Woon Fui kandas seawal pusingan pertama. Taik Chai-Zakry tunduk 8-15, 11-15 kepada pasangan Korea, Jung Jae-sung-Lee Jae-jin (Kor), manakala Fairuzizuan-Woon Fui memberi cabaran sebelum kalah 15-17, 7-15 kepada jaguh Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto.
Bin Shen-Soon Hock berjaya melepasi halangan pusingan pertama dengan mengetepikan Dean Schoppe-Mathew Fogarty dari Amerika Syarikat 15-5, 15-2 tetapi tewas 15-6, 5-15, 5-15 kepada Thomas Laybourn-Peter Steffensen dari Denmark di pusingan kedua.
Pei Tty-Eei Hui yang menjadi tumpuan untuk mara ke separuh akhir selaku pilihan ketiga, dikejutkan dengan kekalahan 15-10, 14-17, 12-15 kepada pasangan bukan pilihan, Aki Akao-Tomomi Matsuda dari Jepun di pusingan kedua. Terdahulu, beregu utama negara itu mengalahkan Ha Jung-eun-Oh Seul-ki dari Korea 15-2, 15-4 di pusingan pertama.
Selepas cemerlang menumpaskan beregu tuan rumah, Kim Byul-nim-Lee Seul-gi 7-15, 15-11, 15-13 dalam aksi pembukaan, Sock Ai-Hing Yau terpaksa tunduk kepada pasangan handalan Thailand dan pilihan kedua, Saralee Thungthongkam-Sathinee Chankrachangwong 10-15, 4-15.
Fong Chew Yen-See Phui Leng pula terkeluar seawal pusingan pertama selepas tewas 8-15, 13-15 kepada beregu Taiwan, Cheng Shao-Chieh-Cheng Hsiao Yun.
KEPUTUSAN (pemain Malaysia sahaja)
¥ Perseorangan lelaki, pusingan ketiga: MUHAMMAD HAFIZ HASHIM vs Kenneth Jonassen (Den); SAIRUL AMAR AYOB kln MOHD. ROSLIN HASHIM 15-9, 12-15, 15-11; Boonsak Ponsana (Tha) kln KUANG BENG HONG 15-9, 15-10; Kenneth Jonassen (Den) kln MUHD. HAFIZ HASHIM 15-5, 15-11
¥ Beregu lelaki, pusingan pertama: Jung Jae-sung-Lee Jae-jin (Kor) kln GAN TAIK CHAI-MOHD. ZAKRY ABDUL LATIF 15-8, 15-11; Chandra Wijaya-Sigit Budiarto (Ina) kln MOHD. FAIRUZIZUAN TAZARI-LIN WOON FUI 17-15, 15-7; TAN BIN SHEN-ONG SOON HOCK kln Dean Schoppe-Mathew Fogarty (USA) 15-5, 15-2.
¥ Pusingan kedua: Thomas Laybourn-Peter Steffenson (Den) kln TAN BIN SHEN-ONG SOON HOCK 6-15, 15-5, 15-5
¥ Beregu wanita, pusingan pertama: Cheng Shao-Chieh-Cheng Hsiao Yun (Tpe) kln FONG CHEW YEN-SEE PHUI LENG 15-8, 15-13; WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kln Ha Jung-eun-Oh Seul-ki (Kor) 15-2, 15-4; OOI SOCK AI-MOOI HING YAU kln Kim Byul-nim-Lee Seul-gi (Kor) 7-15, 15-11, 15-13
¥ Pusingan kedua: Aki Akao-Tomomi Matsuda (Jpn) kln WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI 10-15, 17-14, 15-12; Saralee Thungthongkam-Sathinee Chankrachangwong (Tha) kln OOI SOCK AI-MOON HING YAU 15-10, 15-15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan