Sabtu, 6 Mei 2017

Beng Hong guna kesempatan



 
ARKIB : 18/01/2005
MISBUN (dua dari kiri) mengawasi Beng Hong (kanan) dan Hafiz dalam sesi latihan pasukan kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED.

KEPUTUSAN Misbun Sidek mengetepikan pemain elit seperti Lee Chong Wei untuk melatih pemain pelapis kebangsaan, Kuan Beng Hong dianggap sebagai cabaran besar buat juara Sukma 2004, Beng Hong.

Menurut Beng Hong, daripada satu sudut ia dilihat sebagai keputusan yang menguntungkan dirinya sebagai pemain badminton, tetapi dia sedar ia juga adalah keputusan yang penuh berisiko buat Misbun.

``Sudah tentu saya rasa ia seperti satu peng-hormatan kerana daripada pemain-pemain lain yang ada, beliau telah memilih saya. Tetapi pada masa yang saya fikir ia juga memberi sedikit tekanan,'' akui Beng Hong selepas latihan di Bukit Kiara semalam.

``Saya harus menunjukkan keputusan terbaik bagi mengukuhkan kedudukan sebagai pemain, pada masa yang sama membuktikan keputusan Misbun untuk memilih saya tidak silap.''

Menurut Beng Hong, dia telah menunjukkan peningkatan besar sepanjang tahun lalu dan percaya ia adalah faktor yang meyakinkan jurulatih itu untuk memilihnya.

Walaupun tidak memiliki sebarang kejuaraan antarabangsa, Beng Hong, 22, memulakan kempen 2004 sebagai pemain nombor 98 dunia tetapi menutupnya di tangga ke-27.

Dia juga merupakan naib juara Terbuka Taiwan dan Satelit Asia Singapura, selain mara ke suku akhir Terbuka Singapura, pusingan ketiga Terbuka Indonesia dan membantu Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Thomas.

``Dengan kelebihan yang saya terima sekarang, selain peluang yang lebih banyak untuk bertanding di luar negara, saya rasa 2005 patut menjadi tahun terbaik untuk saya menonjolkan diri.

``Saya tidak mahu menetapkan apa-apa sasaran gelaran, ia tidak logik dengan melihat kedudukan saya ketika ini tetapi saya mahu berada dalam kelompok pemain-pemain terbaik.

``Tidak mustahil saya boleh pintas pemain senior seperti Chong Wei atau Choong Hann tetapi matlamat saya bukan mengalahkan rakan senegara, sebaliknya bersaing dengan pemain dunia.''

Begitupun kata Beng Hong, masih terlalu awal untuk mengharapkan kejutan daripadanya pada masa terdekat terutama di Terbuka Korea atau Seluruh England (Mac).

``Jurulatih letakkan sasaran separuh akhir kepada saya di Korea, tetapi saya kata sasaran peribadi saya adalah suku akhir. Ia agak baik kalau saya berjaya ke suku akhir.''

Kata Beng Hong, Misbun juga mahu dia menumpukan perhatian kepada usaha melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, Julai ini.

``Jurulatih mahu saya layak saja tetapi saya harap untuk layak dan catat keputusan baik kerana kami ada lima bulan menjelang kejohanan itu. Kami ada beberapa sasaran, harap ia boleh dilakukan.''

Beng Hong juga mengakui, dia harus bersedia untuk menerima corak latihan lebih mencabar selepas ini memandangkan tumpuan Misbun kini lebih kepadanya dan bekas juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim.

Katanya, Misbun adalah jurulatih yang terkenal dengan corak latihan fizikal yang keras tetapi mudah diajak berbincang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gMbfFmso
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan