Jumaat, 5 Mei 2017

Beregu negara buat kejutan

RKIB : 18/12/2004

CHOONG Tan Fook (belakang) dan Chew Choong Eng turut meneruskan kemaraan ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia selepas mengatasi Gu Jian-Lu Jian 15-7, 4-15, 15-8, semalam.


BEREGU muda negara, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty mencipta kejutan terbesar pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia apabila menyingkirkan pilihan kedua dari Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thungthongkam untuk melangkah ke separuh akhir beregu campuran semalam.
Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$170,000 (RM646,000) di Stadium Tertutup Gelora Bung Karno, Senayan itu turut diteruskan oleh pasangan Choong Tan Fook-Chew Choong Eng dalam beregu lelaki.
Bagaimanapun harapan untuk merampas kejuaraan perseorangan lelaki yang kali terakhir dimenangi Yong Hock Kin pada 1998 tidak kesampaian apabila Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Muhd. Hafiz Hashim kandas di suku akhir.
Selepas muncul juara Terbuka Taiwan dan naib juara Terbuka Singapura, Kien Keat-Pei Tty kian, yang diletak sebagai pilihan ketujuh terus mempamer peningkatan apabila menewaskan juara Sukan SEA, Sudket-Saralee 15-11, 15-6.
Pasangan negara itu, yang tidak sampai dua bulan digandingkan kini akan berdepan beregu berpengalaman England dan pilihan empat, Robert Blair-Natalie Munt. Blair-Munt mara selepas mengecewakan pasangan tuan rumah, Anggun Nugroho-Yunita Tetty 15-12, 13-15, 15-12.
Sementara itu beregu utama Malaysia ketika ini, Tan Fook-Choon Eng menempah pertemuan sukar menentang pilihan pertama dari Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto pada separuh akhir hari ini.
Semalam, pasangan negara itu mengatasi Gu Jian-Lu Jian dari China 15-7, 4-15, 15-8.
Juara Terbuka Malaysia, Chong Wei, 22, yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Taiwan minggu lalu pula tewas 11-15, 7-15 kepada pemain nombor empat dunia, Chen Hong dari China.
Naib juara dunia, Choong Hann menamatkan kempen 2004 tanpa sebarang gelaran apabila tewas 10-15, 7-15 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan juga dari China.
Hafiz pula tumpas kepada bintang tuan rumah, Taufik 12-15, 7-15.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan