Isnin, 29 Mei 2017

Malaysia cemerlang atasi Taiwan



ARKIB : 11/05/2005

PEMAIN perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo dipaksa bekerja keras ketika menentang pemain Taiwan, Huang Chia-shin pada perlawanan Piala Sudirman di Beijing, China, semalam. Mew Choo menang 11-5, 11-3 dan menyumbang satu mata kepada negara untuk menang 4-1. - Gambar Reuters.

BEIJING - Malaysia bermula baik dalam usahanya untuk kembali ke Divisyen Satu kejohanan badminton Piala Sudirman apabila menundukkan Taiwan 4-1 dalam saingan pembukaan Kumpulan A Divisyen Dua di sini semalam.

Begitupun pasukan negara dikejutkan seketika dengan kekalahan pemain nombor satunya, Lee Chong Wei pada set pertama sebelum menang 11-15, 15-7, 15-4 ke atas Liao Sheng Shiun untuk meraih mata kedua Malaysia.

Terdahulu, mata sulung pasukan negara diperoleh menerusi beregu campuran yang menyaksikan Wong Choong Hann membuat penampilan pertamanya dalam acara tersebut untuk mempamer persembahan mantap bersama Wong Pei Tty.

Choong Hann, 28, yang hanya disenaraikan di saat-saat akhir untuk menggantikan Choong Tan Fook yang cedera menunjukkan kerjasama baik dengan Pei Tty ketika menewaskan Tsai Chia Hsin-Chien Yu Chin 15-2, 15-11.

Juara Sukan SEA, Wong Mew Choo mengesahkan kemenangan Malaysia dengan mengutip mata ketiga selepas menumpaskan Huang Chia Hsin 11-5, 11-3 dalam perseorangan wanita.

Pasangan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat pula melebarkan kedudukan kepada 4-0 apabila mudah mengetepikan Huang Shih Chung-Chien Yu Hsun 15-5, 15-7.

Hasrat Malaysia untuk mencatat kemenangan bersih ke atas Taiwan bagaimanapun tidak kesampaian apabila Pei Tty-Chin Eei Hui tewas 8-15, 12-15 kepada beregu ke-14 dunia, Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin.

Kemenangan ini membolehkan pasukan negara berkongsi kedudukan teratas Kumpulan 2A bersama Belanda yang menang 4-1 ke atas Rusia dalam satu lagi perlawanan.

Malaysia dijangka tidak menghadapi masalah untuk mencatat kemenangan kedua apabila bertemu Rusia hari ini tetapi mungkin menurunkan barisan pemain yang berbeza.

Cabaran sebenar mereka adalah perlawanan terakhir Kumpulan 2A menentang Belanda esok, di mana jika menang Malaysia akan bertemu juara Kumpulan 2B dalam saingan playoff.

Sementara itu dalam Kumpulan 2B, Singapura dipaksa berhempas pulas untuk mengalahkan Jerman 3-2, manakala Jepun membelasah Ukraine 5-0.

Dalam perlawanan Kumpulan A Divisyen Satu, Denmark dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan England 3-2, manakala juara bertahan, Korea Selatan mudah melepasi Thailand 4-1.

KEPUTUSAN

Kumpulan 1A:

Denmark kln England 3-2; Korea Selatan kln Thailand 4-1

Kumpulan 2A:

MALAYSIA 4 Taiwan 1

WONG CHOONG HANN-WONG PEI TTY kln Tsai Chia Hsin-Chien Yu Chin 15-2, 15-11; LEE CHONG WEI kln Liao Sheng Shiun 11-15, 15-7, 15-4; WONG MEW CHOO kln Huang Chia Hsin 11-5, 11-3; CHAN CHONG MING-KOO KIEN KEAT kln Huang Shih Chung-Chien Yu Hsun 15-5, 15-7; WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kk Cheng Wen Hsing-Chien Yu Chin 8-15, 12-15.

Belanda 4 Rusia 1

Kumpulan 2B:

Jepun 5 Ukraine 0; Singapura 3 Jerman 2

HARI INI

Kumpulan 2A:

MALAYSIA lwn Rusia; Belanda lwn Taiwan (9.30pg)

Kumpulan 2B:

Singapura lwn Ukraine; Jepun lwn Jerman (2pt)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iToG0JFR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan