Rabu, 31 Mei 2017

Malaysia belasah Denmark



ARKIB : 25/06/2005

ALOR STAR - Malaysia menumpaskan Denmark 5-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Abdul Halim di sini malam tadi, sekali gus menebus kekalahan pada pertemuan terakhir mereka dalam persaingan peringkat kumpulan kejohanan Piala Thomas 2002.

Pada pertemuan itu Malaysia tumpas 3-2, dan pada saingan Piala Thomas 2000 di Stadium Putra, Bukit Jalil, yang lalu, Denmark menumpaskan Malaysia juga dengan 3-2.

Pemain utama perseorangan negara, Lee Chong Wei membuka laluan dengan mengenepikan pemain ranking kedua dunia, Kenneth Jonassen dalam tiga set 10-15, 15-8 dan 15-9 kira-kira 51 minit untuk memungut mata pertama.

Bekas pemain utama negara, Wong Choong Hann memberi mata kedua apabila menundukkan pemain muda Denmark, Joachim Persson 15-6 dan 15-5 manakala mata kemenangan diperolehi melalui beregu Tan Bin Shen-Ong Soon Hock yang menewaskan pasangan Martin Lundgaard-Jens Eriksen 15-11 dan 15-14.

Beregu kedua negara, Chew Choon Eng-Koo Kien Keat bagaimanapun berhempas pulas hampir 85 minit untuk mengalahkan beregu Denmark, Jonas Rasmussen-Lars Paaske dalam tiga set, 15-13, 13-15 dan 15-12 sementara Mohd. Hafiz Hashim melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia dengan menundukkan Peter Gade Christensen juga dalam tiga set.

Hafiz yang tewas set pertama 12-15, bangkit pada set kedua untuk menang 15-7 dan set penentuan 15-11.

Chong Wei yang belum memenangi sebarang kejohanan peringkat antarabangsa tahun ini berpuas hati dengan keputusan itu dan menyifatkan kemenangannya dibantu oleh faktor keletihan lawan dan juga cuaca panas.

Kemenangan itu juga telah menebus kekalahannya kepada Jonassen pada Terbuka Jepun tahun ini.

Sementara itu ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock berpuas hati dengan kemenangan anak-anak buahnya yang akan dijadikan bekalan bagi menghadapi Terbuka Singapura tetapi beberapa kelemahan yang dikenal pasti hasil pertandingan ini perlu dibaiki.

``Keutamaan saya sekarang ialah memantapkan pemain beregu manakala pemain perseorangan semakin mantap,'' jelasnya.

Jurulatih Denmark, Thomas Stuer pula tidak menyalahkan pemainnya dengan kekalahan itu sebaliknya keputusan itu membolehkan beliau menilai tahap permainan mereka sebelum menghadapi Terbuka Singapura dan Terbuka Malaysia selepas ini.

``Kami tiba di Alor Star malam tadi dan keletihan selepas penerbangan 21 jam dari Copenhagen. Faktor cuaca di sini yang agak panas turut mempengaruhi corak persembahan pemain,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ifZ0igzg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan