Sabtu, 27 Mei 2017

Hafiz, Chong Wei lepasi ujian -- Badminton Seluruh England



ARKIB : 10/03/2005
KUALA LUMPUR - Muhd. Hafiz Hashim memulakan kempen merampas kejuaraan dengan mudah melepasi pusingan pertama untuk mengetuai kemaraan lima perseorangan Malaysia ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England di National Indoor Arena, Birmingham semalam.

Begitupun hasrat Lee Tsuen Seng untuk turut mara berakhir dengan kekalahan 8-15, 12-15 kepada pemain nombor dua dunia, Peter Gade-Chritensen dari Denmark.

Juara 2003 dan pilihan ke-16, Hafiz hanya mengambil masa 30 minit untuk mengetepikan Jim Ronny Andersen dari Norway 15-9, 15-12.

Dia akan bertemu pemain Jerman, Marc Zwiebler pada pusingan kedua, namun ujian terbesarnya naib juara Terbuka Jerman itu adalah di pusingan ketiga hari ini apabila dijangka berdepan pemain nombor tiga dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark.

Turut melepasi pusingan awal adalah pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei yang membuat penampilan sulung di Seluruh England.

Chong Wei, 23, pilihan ketujuh diberi tentangan sengit pada set kedua sebelum menyingkirkan John Moody dari New Zealand 15-9, 15-2 untuk bertemu Kendrick Lee dari Singapura.

Sementara itu bekas pemain utama negara, Wong Choong Hann hampir dikejutkan oleh pemain Korea, Jang Young-soo sebelum menang 15-7, 2-15, 15-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 74 minit.

Pemain muda negara, Kuan Beng Hong menempah pertemuan ulangan dengan jaguh Denmark dan pilihan ke-12, Anders Boesen pada pusingan kedua selepas menundukkan pemain Jerman, Roman Spitko 15-10, 15-10. Beng Hong, tewas kepada Boesen 11-15, 10-15 pada pusingan pertama Terbuka Jerman minggu lalu.

Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton berusia 106 tahun itu juga turut diteruskan jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim yang menyingkirkan Eric Pang dari Belanda 15-12, 15-4 dan akan bertemu Andrew Dabeka dari Kanada.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iGm1OvUn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan