Ahad, 28 Mei 2017

Hafiz, Jonassen di final



ARKIB : 03/04/2005

BANGKOK - Jaguh perseorangan negara, Muhd. Hafiz Hashim melayakkan diri ke perlawanan akhir ketiganya tahun ini selepas menewaskan pemain Singapura, Ronald Susilo pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand, semalam.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia dalam beregu lelaki berakhir dengan kekalahan pasangan veteran, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng dan Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Abdul Latif.

Hafiz, pilihan ketiga, yang menjuarai Terbuka Switzerland minggu lalu, selain muncul naib juara Terbuka Jerman, Februari lepas diheret ke permainan selama satu jam, 12 minit sebelum menang 13-15, 17-15, 15-9 ke atas juara Terbuka Jepun, Ronald.

Juara Seluruh England 2003 itu akan menentukan kejuaraan dengan menentang pilihan pertama dan pemain nombor tiga dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark.

Kenneth yang menewaskan Hafiz dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain iaitu pusingan ketiga Terbuka Korea (Januari) dan separuh akhir Terbuka Singapura (November, 2004) mara selepas mengecewakan juara bertahan, Boonsak Bonsana dari Thailand 15-10, 15-6.

Sementara itu, Tan Fook-Choon Eng menyempitkan laluannya untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, Ogos ini selepas tumpas 5-15, 6-15 kepada pasangan muda Korea, Jung Jae-sung-Lee Jan-jin.

Anak-anak buah Yap Kim Hock itu kini tidak punya pilihan kecuali menyerlah pada kejohanan kelayakan terakhir di Terbuka Jepun minggu depan untuk menghidupkan peluang beraksi di Los Angeles.

Taik Chai-Zakry pula bukan tandingan buat pasangan Denmark dan pilihan pertama, Lars Paaske-Jonas Rasmussen apabila kalah straigt-set 7-15, 12-15.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iMA5B9hM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan