Isnin, 29 Mei 2017

Malaysia jadi pilihan



ARKIB : 17/05/2005

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI


BEREGU nombor satu dunia, Jens Eriksen (belakang) dan Martin Lundgaard Hansen akan mengetuai pasukan Denmark pada perlawanan persahabatan menentang Malaysia di Alor Star, 24 Jun ini.


KUALA LUMPUR - Pasukan badminton Denmark dan Malaysia akan saling menguji keupayaan masing-masing sebagai persiapan terakhir untuk menghadapi tiga kejohanan iaitu Terbuka Singapura, Malaysia dan Kejohanan Dunia.

Selepas mengendalikan dua siri perlawanan persahabatan yang berjaya menentang Korea Selatan dan China pada 2003, Malaysia menjadi destinasi pilihan Denmark untuk melakukan persiapan terakhir menjelang ketiga-tiga kejohanan.

Malah, bagi Malaysia, pertemuan dengan Denmark mampu menjadi persediaan terbaik buat pemain-pemainnya, terutama beregu muda yang akan memikul cabaran ke Kejohanan Dunia buat kali pertama, Ogos ini.

Perlawanan persahabatan Malaysia-Denmark yang julung kali diadakan itu dijadual berlangsung di Alor Star, Kedah pada 24 Jun ini iaitu sebelum bermulanya Terbuka Singapura (27 Jun hingga 3 Julai) dan Terbuka Malaysia pada 5-10 Julai.

Ia bagaimanapun hanya melibatkan pemain-pemain lelaki, di mana Denmark memiliki barisan pemain yang berada pada kedudukan baik dalam ranking dunia.

Juara Eropah, Kenneth Jonassen dan bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen bakal mengetuai barisan perseorangan lelaki negara itu. Kedua-dua pemain kini berada pada ranking kedua dan ketiga dunia.

Denmark juga memiliki barisan beregu handalan yang diketuai pasangan nombor satu dunia, juara Terbuka Jepun, Korea serta Eropah, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen.

Juara Terbuka Denmark dan naib juara Seluruh England, Lars Paaske-Jonas Rasmussen pula berada pada kedudukan ketiga dunia, manakala gandingan Thomas Laybourn-Peter Steffensen berada di ranking ke-11.

``Beregu muda negara memang memerlukan sebanyak mungkin pendedahan menjelang Kejohanan Dunia, jadi pertemuan dengan Denmark tiba tepat pada masanya.

``Saya harap para pemain dapat memanfaatkan pertemuan ini dengan mencuri pengalaman yang dimiliki beregu-beregu terbaik Denmark untuk memantapkan persembahan mereka,'' kata ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock.

Masalah prestasi yang dialami beregu berpengalaman seperti Choong Tan Fook, Chew Choon Eng dan Lee Wan Wah menyebabkan Malaysia mungkin terpaksa menyenaraikan 100 peratus beregu muda pada Kejohanan Dunia di Los Angeles, 15-21 Ogos ini.

Pemain negara yang hampir pasti mengesahkan tiket ke kejohanan itu adalah Lee Chong Wei dan Muhd. Hafiz Hashim dalam perseorangan lelaki, manakala Wong Choong Hann perlu bersaing dengan Kuan Beng Hong dan Muhd. Roslin Hashim untuk mengisi slot ketiga.

Pasangan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat pula dijangka mengetuai cabaran beregu lelaki bersama Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iUEMtUtX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan