Ahad, 7 Mei 2017

Hafiz, Beng Hong lepasi halangan

ARKIB : 26/01/2005
INCHEON CITY, Korea Selatan - Bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan pemain muda sedang meningkat, Kuan Beng Hong melepasi halangan awal kejohanan badminton Terbuka Korea di Stadium Tertutup Dowon, di sini, semalam.
Turut mara adalah bekas pemain kebangsaan Sairul Amar Ayob. Namun, nasib tidak menyebelahi pemain remaja, Pei Wei Chung yang kandas pada saingan pembukaan kejohanan bernilai AS$250,000 (RM950,000) itu.
Hafiz yang berazam menjadikan 2005 sebagai tahun kebangkitannya dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain tidak ternama tuan rumah, Kim Ki-suk 15-6, 17-16.
Juara Seluruh England 2003 dan pilihan kesembilan itu akan berdepan seorang lagi pemain tuan rumah, Lee Cheol-ho pada pusingan kedua hari ini.
Sementara itu, Beng Hong yang berjaya menarik perhatian jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek mencatat kemenangan mudah 15-0, 15-0 ke atas Jayson Urlich dari New Zealand.
Menanti juara Sukan Malaysia itu hari ini adalah pemain China, Qui Yanbo yang menundukkan Kang Hyung-ki dari Korea 10-15, 15-8, 17-14.
Sairul yang menyuarakan hasrat untuk kembali menyertai pasukan kebangsaan pula melangkah ke pusingan kedua tanpa perlu turun ke gelanggang selepas menang percuma ke atas Lu Yi dari China.
Pilihan ke-16 itu kini akan menentang pemain sedang meningkat, Jang Yong-soo dari Korea. Yong-soo mara selepas menewaskan pemain China, Chen Jin 15-3, 15-2.
Pemain remaja negara, Wei Chung terpaksa melupakan Terbuka Korea lebih awal apabila kalah straight-set 8-15, 11-15 kepada pilihan ke-14, Hidetaka Yamada dari Jepun.
Pemain nombor tiga negara, Mohd. Roslin Hashim mendapat bye pada pusingan pertama dan hanya akan memulakan cabaran dengan menentang pemain muda Korea, Jung Hoon-min.
Selain pusingan kedua perseorangan lelaki, turut berlangsung hari ini adalah saingan awal perseorangan wanita yang hanya melibatkan seorang pemain Malaysia, M. Suthewaswari yang turun menentang pilihan keenam, Tine Rasmussen dari Denmark.
Tiga beregu lelaki negara, Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latif, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dan Tan Bin Shen-Ong Song Hock serta tiga beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Fong Chew Yen-See Phui Leng dan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau hanya akan memulakan saingan esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan